spot_img
spot_img

Kerjasama UMNO dan PAS masih cerah di PRU16

spot_img

SHAH ALAM – Pas percaya kerjasama Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO yang hampir terkubur pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mampu berputik semula sebelum PRU16.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, ia berdasarkan pengamatan Pas di mana hubungan UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan kini menghampiri ketegangan kemuncak dan dijangka sukar untuk dipertahankan. Ia berdasarkan rentetan pelbagai isu berbangkit mutakhir ini banyak menyentuh kepentingan Melayu dan agama Islam.

Beliau berkata demikian pada wawancara dengan Sinar Premium hari ini.

- Advertisement -

“Kita tidak ada jalan lain melainkan semua pihak kembali bersatu demi menghidupkan semula MN. Bagaimanapun saya percaya MN mampu kembali berputik sekiranya UMNO-DAP bercerai dan UMNO kembali kepada Pas sebelum PRU16,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendirian terkini Pas terhadap situasi pertembungan politik antara UMNO dan DAP yang semakin panas sejak kebelakangan ini, meskipun kedua-duanya kini berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Paling panas ialah kontroversi cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming agar Kampung Baru Cina di Selangor diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang mendapat tentangan terbuka daripada majoriti pemimpin utama UMNO termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

- Advertisement -

Terdahulu, kenyataan sebilangan pemimpin DAP seperti bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang mengeluarkan komen sinis terhadap kes ‘diskaun 50 peratus’ pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Majlis Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan pada 29 Januari lalu, turut mengundang kemarahan UMNO.

MN adalah sebuah kerjasama berpiagam antara UMNO dan Pas, terbentuk hasil daripada Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai di antara dua parti politik tersebut semasa Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019.

Ramai pemerhati politik percaya kerjasama MN menjadi punca utama kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Bersatu pasca PRU14.

Bagaimanapun kerjasama itu dianggap sudah terkubur apabila UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menyertai Kerajaan Perpaduan bersama PH pasca PRU15.

Mengulas lanjut, Hashim menegaskan walaupun UMNO sering meletakkan syarat-syarat tidak masuk akal dalam memuktamadkan kerjasama MN, Pas sehingga kini masih tidak pernah mengisytiharkan parti Melayu itu sebagai musuh.

Ujarnya, UMNO dan Pas perlu melupakan persengketaan sesama mereka dengan menjadikan matlamat penyatuan ummah sebagai agenda utama melebihi kepentingan politik parti masing-masing.

“Faktor utama kegagalan MN diperkukuhkan kerana UMNO tidak mahu ada Bersatu dalam MN. Pas pula tidak boleh menyertai Kerajaan Perpaduan kerana ada DAP di dalamnya.

“UMNO kena pertimbang semula soal perpaduan Melayu Islam kerana Bersatu masih boleh merendahkan ego mereka dan bersetuju menerima UMNO demi perpaduan ummah.

“Pas pula tidak boleh menerima DAP kerana kita tahu parti itu tidak pernah merestui agenda perpaduan ummah yang cuba direalisasikan MN,” katanya.

Pada masa sama, Hashim turut berkeyakinan sudah ada pertemuan secara tidak langsung di antara pucuk kepimpinan UMNO dan Pas bagi membincangkan semula usaha mengukuhkan kembali MN.

“Pertemuan rasmi mungkin belum ada. Tetapi secara tidak langsung, saya yakin usaha itu ada di semua peringkat kepimpinan. Mereka masih percaya pintu kerjasama MN masih belum tertutup.

“Rentetan pelbagai isu menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam sejak kebelakangan, saya sudah nampak wujud kesedaran dalam kalangan pemimpin UMNO,” tegasnya.

 

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img