spot_img
spot_img

Malaysia bakal bina hab penyelidikan klinikal barah

spot_img

PUTRAJAYA: Malaysia bakal menarik satu lagi pelaburan asing terbaharu melalui kerjasama dua syarikat terkemuka dunia iaitu Hematogenix Laboratory Services (Hematogenix) dan Novotech Pty Ltd (Novotech) bagi membangunkan sebuah hab penyelidikan klinikal, yang menjadi makmal bersepadu pertama seumpamanya di Asia.

Hematogenix adalah peneraju global dalam perkhidmatan makmal bersepadu, manakala Novotech ialah sebuah organisasi penyelidikan industri farmaseutikal terbesar di Australia.

Hematogenix meninjau potensi pelaburan terbaharunya di Malaysia menerusi perancangan menubuhkan makmal bernilai kira-kira AS$15 juta (RM58.39 juta).

- Advertisement -

Makmal itu yang dijangka dibina menjelang akhir tahun ini akan memfokuskan kepada penyelidikan barah dan klinikal di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Hytham Al Masri, berkata Malaysia sebuah negara berpotensi besar untuk menjadi platform penyelidikan dan pembangunan perubatan barah.

“Malaysia memiliki tenaga kerja, kepakaran dan prasarana sesuai bagi membangunkan kajian penyelidikan barah berasaskan perubatan genetik.

- Advertisement -

“Pembinaan makmal bersepadu ini adalah satu pelaburan besar bagi kami dan kos operasinya mungkin akan bertambah kira-kira AS$25 juta (RM97.31 juta) bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Hematogenix dengan Novotech Pty Ltd dan Clinical Research Malaysia (CRM) bagi mewujudkan kerjasama strategik dalam penyelidikan klinikal, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif CRM, Dr Akhmal Yusof dan Pengarah Eksekutif Bahagian Operasi Asia  Novotech, Dr Kim Yooni.

Dr Hytham berkata pihaknya kini sedang mengenal pasti lokasi pembinaan makmal itu dan dijangka meninjau bandar-bandar utama seperti di Cyberjaya.

“Sebaik pusat makmal itu beroperasi, kami menyasar untuk melatih antara 100 hingga 120 tenaga kerja tempatan termasuk dalam kalangan doktor, saintis dan juruteknik perubatan lain.

“Melalui kewujudan operasi kami di Asia (berpusat di Malaysia), Malaysia juga dijangka mampu menarik lebih banyak percubaan klinikal di peringkat global memasuki negara ini sekali gus meningkatkan prestasi perubatan negara serta membawa masuk lebih banyak peluang pelaburan ke Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya juga bersedia berbincang dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengenai insentif cukai yang bersesuaian bagi operasi perniagaannya di negara ini.

Sementara itu, Dr Yooni berkata, Novotech sangat memfokuskan kepada pertumbuhan ke Asia Pasifik yang dianggap sebagai salah satu kawasan  paling menarik bagi ujian klinikal.

“Komitmen Kerajaan Malaysia dengan usaha berterusan CRM dalam membangunkan industri penyelidikan klinikal membantu meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi penyelidikan klinikal,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Akhmal berkata, kajian perubatan genetik itu juga diyakini membuka jalan untuk merawat pelbagai penyakit kronik yang lain serta membuka pasaran lebih luas untuk Malaysia dalam bidang farmaseutikal.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img