KUALA LUMPUR, 26 Feb — Sehingga berita itu ditulis, belum ada mana-mana media melaporkan bahawa ada sambutan positif daripada pihak kerajaan berkenaan soal perpaduan dan bahasa kebangsaan yang dibangkit oleh Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar semasa perasmian sidang parlimen hari ini.
Amat jelas dalam titah baginda itu yang sangat mengambil berat akan soal perpaduan dikalangan rakyat Malaysia di mana baginda menegur secara langsung, bahawa masih terdapat warganegara Malaysia yang tidak boleh fasih berbahasa kebangsaan. Baginda juga mahu perpaduan di kalangan rakyat dipupuk bermula dari peringkat anak kecil lagi.
Pihak kerajaan melakui beberapa jemaah menteri hanya menyentuh berkenaan perkara lain dalam titah Agong.
Kesemua 40 Ahli Parlimen DAP yang diwakili oleh Ketua Whip DAP di Parlimen, Nga Kor Ming berkata mereka akan menjunjung titah Yang Dipertuan Agong Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, bagi mengukuhkan kestabilan politik bagi mewujudkan Malaysia Madani yang harmoni, bersatu padu, makmur dan maju.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu hanya menyentuh soal merancakkan ekonomi, tetapi tidak menyentuh isu perpaduan sejak dari anak kecil.
Malah menteri dari DAP itu dengan bangga menyokong titah baginda untuk tidak melayan sebarang usaha pihak pembangkang dalam menggugat kerajaan perpaduan, namun tidak menyahut seruan berkenaan bahasa kebangsaan ataupun perpaduan dipupuk sewaktu anak sekolah.
Terdahulu, pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-15, Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja sulung baginda menzahirkan amaran, nasihat, dan pandangan dalam pelbagai topik termasuk menyentuh soal penguasaan bahasa kebangsaan yang lemah antara punca negara gagal dalam memupuk perpaduan di kalangan rakyat.
YDPA tegur ada rakyat Malaysia gagal kuasa bahasa kebangsaan
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said juga tidak menyentuh berkenaan perpaduan kaum dari anak kecil dan kelemahan penguasaan bahasa kebangsaan.
Beliau menteri dari UMNO hanya memuji titah baginda yang selari dengan agenda reformasi, pengukuhan undang-undang dan institusi yang sedang giat dijalankan oleh Kerajaan Madani.
Seorang lagi Menteri dari DAP yang memegang portfolio Kementerian Digital Gobind Singh Deo juga tidak menyentuh soal perpaduan.
Penganalisis politik Othman Khiarani dari Universiti Malaya berkata, sudah tentu perkara bahasa dan memupuk perpaduan dari kecil adalah “sensitif” bagi parti komponen kerajaan terutamanya DAP.
“Mereka inilah yang menentang keras sebarang pembentukan sekolah wawasan atau sekolah campuran untuk anak-anak pelbagai kaum bercampur, jadi bagaimana mereka ingin menyahut seruan Agong berkenaan memupuk perpaduan dari anak kecil kalau sekolah pun sudah berasingan ?”, katanya.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong kuat parti DAP dalam mempertahankan pendidikan Cina seperti Dong Zhong amat keras mempertahankan sekolah jenis kebangsaan dan tidak memainkan peranan langsung untuk menyatupadukan anak-anak pelbagai kaum di negara ini untuk belajar di sekolah kebangsaan atau membina suatu sistem di mana anak-anak dapat berinteraksi di bawah satu bumbung semasa sessi persekolahan.
”Pengundi DAP yang majoritinya berbangsa Cina pasti tidak mahu ‘diusik’ oleh parti itu, lebih-lebih lagi apabila menyentuh tentang penguasaan bahasa, yang pastinya akan menjurus kepada pendidikan Cina mereka”, kata Othman lagi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyebut bahawa ‘tiada kekuatan politik’ bagi kerajaan sebelum-sebelum ini bagi mengkaji pendekatan skim pencen yang telah lama membebankan kerajaan, tetapi sekarang di bawah Kerajaan Madani, kerajaan ‘berani’ untuk membuat perubahan kerana ada kekuatan politik.
Adakah Kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar mempunyai kekuatan politik yang sama seperti mengkaji skim pencen yang mana terdiri ramai kakitangan awam dari kalangan orang Melayu, dalam menyahut seruan yang Di Pertuan Agong berkenaan perpaduan yang mesti dipupuk dari anak kecil lagi – yakni dari bangku sekolah ? Supaya penguasaan bahasa kebangsaan antara kaum di Malaysia ini tidak kedengaran seperti bercakap dengan ‘ayam dan itik’.
*Komentar editor Berita Tular