PASIR SALAK 22 Okt. – Kerajaan akan menggiatkan lagi penanaman jagung pada skala lebih besar sebagai langkah untuk mengurangkan kebergantungan makanan haiwan dari luar negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, jumlah import makanan haiwan setiap tahun mencecah RM3 bilion dari beberapa negara termasuk Thailand dan Amerika Syarikat dan jumlah itu dijangka terus meningkat.
Katanya, untuk memastikan penanaman jagung bagi dijadikan makanan haiwan berjaya, kerajaan memerlukan kawasan tanah seluas 100 hingga 200 hektar di seluruh negara.
“Jagung merupakan bahan mentah untuk menghasilkan makanan haiwan seperti ayam dan lembu. Masyarakat juga perlu melihat potensi penanaman jagung ini sebagai peluang baharu berbanding penanaman pokok durian dan betik.
“Buat masa sekarang kita sedang berada di peringkat perintis di Terengganu dan Kedah bagi melihat kesesuaian jagung jenis tersebut untuk diperluaskan lagi di kawasan lain,” katanya selepas Program Rela bersama Pemimpin Peringkat Daerah Tengah di Kota Setia di sini, hari ini.
Ketika diminta mengulas mengenai Bajet 2017, Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak menyifatkan ia sebagai belanjawan terbaik terutama bagi sektor pertanian.
Katanya, peruntukan besar sebanyak RM1.3 billion bagi sektor pertanian membuktikan kerajaan prihatin dan memberi perhatian serius terhadap nasib golongan petani.
“Walaupun ekonomi tidak begitu baik, kerajaan tetap menunjukkan keprihatinan dengan meneruskan pemberian elaun sara hidup kepada nelayan.
“Kerajaan juga memperuntukkan bajet untuk infrastruktur pertanian dan pemasaran produk yang mampu menambah pengeluaran produk pertanian,” katanya.
Selain itu, Tajuddin berkata peruntukan sebanyak RM300 juta untuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) merupakan satu bentuk bantuan bagi membantu usahawan atau yang kurang berkemampuan memajukan perniagaan.