Ia reaksi rasa terkilan sebahagian penduduk Putrajaya termasuk saya sendiri yang bertugas waktu itu apabila melihat landasan monorel separuh siap berdekatan Masjid Tuanku Mizan Zainal.

Lapan tahun berlalu dan projek pengangkutan monorel yang ditangguhkan pada pertengahan 2004 itu diimbas kembali dalam background laporan temubual Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir bersama Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.

- Advertisement -

Selepas Dr. Mahathir berundur (sebagai Perdana Menteri keempat 2003), banyak idea beliau dibatalkan oleh penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ini termasuklah monorel di pusat pentadbiran itu yang kini hanya tinggal terowong yang tidak disiapkan dan jambatan yang tidak dihubungkan merentasi tasik buatan manusia.

Jambatan itu digambarkan Dr. Mahathir sebagai ‘satu-satunya jambatan tergantung yang tertangguh di dunia’.

Jika dalam pertemuan dengan WSJ, Perdana Menteri agak kecewa hasratnya untuk membina sebuah boulevard seperti Champs-Élysées di Paris dengan jalan raya dan banyak kedai di Putrajaya tidak kesampaian, barangkali jugalah pembatalan projek monorel ‘terbuku’ dalam hati beliau.

- Advertisement -

Kalaulah dulu projek bernilai RM400 juta itu diteruskan, sudah pasti Putrajaya tidak mengalami masalah tempat letak kereta seperti sekarang.

Tetapi jika sekarang hendak dibina, bayangkanlah berapa mahal kosnya.

Bayangkan monorel bergerak di sekitar Putrajaya. Tidakkah itu suatu yang indah dan kelihatan maju? Tetapi projek ini terbengkalai dengan jejambat untuk menempatkan relnya terjuntai di stesen LRT di antara Kuala Lumpur dan KLIA.

Kalau ikut perancangan asal, pelan pembangunan Putrajaya sepatutnya mempunyai sistem aliran ringan (LRT), malah pembinaan terowong untuk tujuan itu sudah dilakukan tetapi selepas itu, rancangan ditukar untuk bina monorel.

Monorel dicadangkan itu mempunyai dua aliran, satu sepanjang 12 kilometer (km) dengan 17 stesen dan satu lagi sepanjang 6 km dengan enam stesen.

Pembangunan fasa pertama projek itu membabitkan sistem pengangkutan monorel bawah tanah dan jejantas sepanjang lapan kilometer menghubungkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Presint 3 hingga ke Kementerian Pendidikan di Kompleks E.

Ketika itu (2004), MTrans Monorail Sdn Bhd (MTrans) diberi tanggungjawab melaksanakan projek berkenaan, yang dijadual mengambil masa 30 bulan bagi membina 12 stesen, termasuk tujuh di bawah tanah dan landasan. Namun tidak dapat dipastikan setakat mana kemajuan projek itu apabila pembinaannya dihentikan.

Alasan diberi ketika itu ialah tiada peruntukan, dengan kemungkinan akan diteruskan apabila jumlah penduduk Putrajaya dan pengunjung ke pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu bertambah sehingga satu kadar munasabah bagi perkhidmatan monorel beroperasi.

Sejak itu, isu monorel Putrajaya pernah dibangkitkan beberapa kali, termasuk pada 2007 oleh Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Tan Sri Zulhasnan Rafique, yang merujuknya kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) tetapi tiada tindakan susulan diambil.

PPj sendiri pernah melantik sebuah syarikat perunding tempatan untuk menyiapkan kajian mengenai model kewangan yang sesuai bagi meneruskan projek monorel itu. Pada 2012, Presiden PPj, Tan Sri Samsudin Osman mengetengahkan cadangan supaya pembinaan monorel di Putrajaya diteruskan.

Pada 2014, seorang lagi Presiden PPj, Tan Sri Aseh Che Mat mengusulkan projek monorel Putrajaya dilaksanakan dengan mengambil kira pertambahan penduduk dan peningkatan kunjungan pelancong serta orang ramai ke pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu atas pelbagai urusan.

Berdasarkan Rancangan Pembangunan Rel Bandar oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Jun 2013, pertumbuhan penduduk Putrajaya bagi tahun 2000 hingga 2010 diunjurkan meningkat 815 peratus dan laporan itu turut mencadangkan projek monorel mungkin dapat dihidupkan semula pada 2016 dan dijangka siap pada 2020.

Hanya mereka yang menetap, melancong atau bekerja di Putrajaya yang tahu betapa azabnya sekarang ini untuk mencari tempat letak kereta, terutama pada waktu puncak atau apabila ada acara tertentu berlangsung.

Memang diakui projek yang terbengkalai sejak 2004 itu mungkin tidak sesuai mahupun selamat untuk disambung semula. Tetapi sekurang-kurangnya pihak berwajib harus memeriksanya bagi memastikan wang rakyat yang dibelanjakan untuk projek berkenaan tidak dibazirkan begitu sahaja.

Putrajaya – dalam bahasa Melayu adalah `putera yang berjaya, memberi tanggapan mengukuhkan kejayaan anak Diraja – Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri pertama Malaysia.

Menamakan metropolis Persekutuan yang baharu selepas Tunku adalah sebagai tanda penghormatan yang mulia di pihak Dr. Mahathir dalam kesungguhan untuk mengingatkan rakyat Malaysia bahawa sumbangan yang dibuat oleh Tunku jangan diketepikan.

Dari mana sudut sekalipun Putrajaya mempamerkan pandangan yang menakjubkan. Pada hari yang cerah, keseluruhan persada di ufuk yang terjalin oleh sembilan buah jambatan yang menarik dan puncak-puncak yang tinggi dapat dilihat dengan jelas.

Semua ini menggambarkan perancangan dan estetik mengagumkan.

Dan Dr. Mahathir dilaporkan pernah menggesa kerajaan meneruskan projek monorel itu memandangkan Putrajaya mengalami kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak sebelah pagi dan petang.

Kata beliau, hanya beberapa bahagian sahaja lagi daripada projek itu yang perlu disiapkan kerana asas rangka kerjanya, jambatan gantung dan terowong untuk laluan monorel sudah tersedia.

Adakah jumlah penduduk di Putrajaya yang semakin bertambah dari lima tahun lepas, dianggarkan waktu itu kira-kira 80,000 orang masih belum mencapai jumlah ideal bagi perkhidmatan berkenaan iaitu 500,000 penduduk? Bagaimana pula dengan keperluan pengangkutan efisien yang didambakan puluhan ribu penjawat awamnya? Atau halangan projek monorel adalah kekangan kewangan masa ini?

Sekali lagi – bayangkan Champs-Élysées berserta monorel yang menjalar. Indahkan!

Zulkifli Jalil@Utusan