spot_img
spot_img

Rural Capital agensi pelaburan MARA membantu dana usahawan desa

spot_img

SETIAP perniagaan yang berlegasi bermula daripada idea keusahawanan yang lama-kelamaan bercambah dan berkembang.

Namun, ia tidaklah semudah yang disangka kerana visi seorang usahawan untuk mengembangkan perniagaan ada kalanya mempunyai limitasi seperti kekangan kewangan.

Di sinilah datangnya pelbagai bentuk bantuan daripada kerajaan yang disediakan pada hari ini antaranya pembiayaan perniagaan.

- Advertisement -

Banyak syarikat yang dilihat mempunyai prospek cerah untuk dibantu sama ada dari segi produk atau servis yang ditawarkan. Ianya bertujuan memangkin perniagaan serta berdaya saing dengan pasaran luar.

Antara agensi pelaburan tersebut adalah Rural Capital Bhd (RCB) yang ditubuhkan dan dikorporatkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Bercerita lanjut mengenai mandat yang dipegang RCB, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hiruddin Hashim berkata mereka mempunyai dua tujuan utama yang harus dikotakan.

- Advertisement -

Jelasnya, RCB adalah entiti dikategorikan sebagai institusi kewangan yang mempunyai dua tugas penting iaitu memberikan pembiayaan perniagaan dan kedua menyelia kawalan kredit.

“Khidmat kami dikhususkan kepada usahawan Bumiputera di kawasan luar bandar kerana kami tertakluk di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Impian yang kami pasang adalah untuk melihat peniaga kampung seperti makcik dan pakcik yang menjual kerepek atau rempah ratus pergi jauh sehingga ke peringkat negara mahupun antarabangsa.

“Tidaklah selamanya mereka berniaga kecil-kecilan di satu tempat. Kami bukan sahaja akan membiayai mereka, malah akan menawarkan khidmat takful dan Solusi berasaskan digital” jelas Hiruddin.

Berkongsikan statistik pada tahun 2023, Hiruddin berkata seramai 150 usahawan mikro diberikan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dengan tempoh bayaran balik selama lima hingga tujuh tahun.

SPED yang diberikan RCB meliputi pembelian aset untuk mesin dan peralatan, pengubahsuaian atau menaik taraf premis perniagaan serta modal kerja untuk tujuan pemerolehan bahan mentah atau stok.

“Kami mahu lihat peniaga di kampung bergerak ke arah digital. Misalnya sekarang kalau kita tengok di kedai mamak, mereka ambil order pun menggunakan tablet dan cashless, lebih efisien, satu rangkaian yang memudahkan proses kerja secara keseluruhannya.

“Lebih menjimatkan masa dan dapat mengelakkan daripada berlakunya kesilapan,” ujar Hiruddin.

Tambahnya lagi, melihat kepada rekod lalu penerima SPED, rata-rata tidak mempunyai isu untuk membayar semula kerana diwujudkan rebat Muqasah yang memotivasikan peniaga untuk bersungguh-sungguh memanfaatkan kemudahan yang diberikan.

“Boleh dikatakan antara 99 peratus penerima SPED membayar balik tepat pada waktunya. Ini kerana mereka ingin mendapatkan Muqasah atau rebat. Rebat ini ditawarkan kepada mereka yang mempunyai rekod bayaran yang baik dan ianya adalah geran daripada Kementerian.

“Usahawan perlu membayar mengikut jadual yang ditetapkan dan tanpa culas sekurang-kurangnya 3 tahun dan mencapai 70% pokok maka usahawan itu layak mendapat Muqasah.”

“Dengan adanya rebat Muqasah, diharapkan penerima SPED bersemangat menggunakan pembiayaan yang diberikan untuk memajukan perniagaan mereka dan bukannya untuk tujuan lain,” terang Hiruddin.

Usahawan-usahawan dibawah SPED juga bukan sekadar menerima pembiayaan sahaja malah RCB juga bertanggungjawab bersama-sama dalam mengembangkan perniagaan mereka dengan menyediakan latihan dan kursus buat usahawan-usahawan ini.

Selain itu juga, usahawan-usahawan SPED diberi peluang untuk bersama-sama RCB dan KKDW dalam memperkenalkan produk-produk mereka di karnival jualan dan juga ekspo-ekspo besar di seluruh Malaysia.

Mengimbas semula kisah sukses penerima SPED, antara yang membanggakan Hiruddin adalah pengusaha restoran di Setiu, Terengganu yang berjaya membuka cawangan baharu dan pemilik dewan kahwin di Pahang yang mampu membesarkan gedungnya.

“Lagi yang saya ingat adalah seorang pemilik bengkel automotif di Terengganu, dengan pembiayaan sebanyak RM200,000 yang kami berikan, dia naik taraf premisnya. Dari situ kita dapat lihat ada peningkatan jualan sebanyak 55 peratus, Alhamdulillah.

“Selain itu, seorang lagi yang berjaya dibantu adalah pengusaha kafe di Perak, dengan pembiayaan sebanyak RM100,000, dia ubah suai kedainya. Dari situ dia berjaya capai peningkatan jualan sebanyak 42 peratus, hebat sekali,” kata Hiruddin.

Antara perkhidmatan lain yang ditawarkan RCB adalah nasihat mengenai takaful.

“Kami memberikan pakej lengkap kepada peniaga yang dibantu, pembiayaan dan perlindungan, secara total. Kami sering galakkan peniaga untuk ambil takaful banjir dan kebakaran yang ditawarkan kami. Malang tidak berbau, kita tak akan tahu.

“Rugi kalau kerja keras kita selama ini jadi sia-sia apabila berlakunya bencana sedemikian. Sekurang-kuranganya dengan adanya takaful ini kita tidak terus jatuh terduduk dan ada sokongan apabila ditimpa musibah.

“Lagi satu, selain SPED, kita ada juga tawarkan Skim Pembiayaan Kontrak Pembekalan dan Perkhidmatan (SKOPP) dengan Kerjasama GIATMARA, khusus kepada kontraktor Bumiputera yang menerima kontrak pembinaan rumah PPRT.

“Jumlah pembiayaan sebanyak 90% daripada kos kontrak dan dibayar terus kepada kontraktor atau pembekal dengan menawarkan financing facility line sehingga dua tahun yang mana kontraktor hanya perlu membuat sekali sahaja permohonan.

Kontraktor boleh memohon pembiayaan setiap kali berjaya mendapatkan kontrak rumah PPRT untuk tempoh dua tahun yang ditawarkan.

“Secara ringkasnya, ia adalah bantuan kewangan untuk kontraktor melaksanakan projek,” ujar Hiruddin.

 

 

Sumber : The Star

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img