spot_img
spot_img

Kerajaan Madani perlu beri ruang perkasakan UMNO

spot_img

Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mengalami defisit sokongan orang Melayu majoriti, terutama di kawasan luar bandar atau separa bandar. Kekuatan Madani terletak pada sokongan golongan bukan Melayu, atau kata secara langsung ialah sokongan pengundi jitu daripada parti DAP.

Jika Anwar di dalam penggal ini tidak melaksanakan langkah drastik dalam usaha untuk mengembalikan undi orang Melayu, atau sekurang-kurangnya memperoleh peningkatan sokongan di negeri-negeri yang maju seperti Johor, Perak dan Kedah kepada UMNO, kemungkinan PRU16 kelak boleh berlaku kerajaan ‘perpaduan’ yang sebenar, iaitu campuran semua parti dalam membentuk kerajaan kerana tiada mana-mana parti mendapat majoriti – seperti sekarang hanya dua parti dominan iaitu Pas dan DAP sahaja.

Ini kerana sokongan Melayu majoritinya akan ke PN, manakala bakinya dan bukan Melayu kepada BN serta PH.

- Advertisement -

Pola pengundian masa depan serta demografi pengundi di kawasan majoriti Melayu merupakan cabaran besar buat PH.

Sentimen Melayu Islam paling mudah dan terbukti berjaya untuk dimainkan oleh sesiapa sahaja, sejak dari zaman kemerdekaan dan kini, amat berkesan. Ditambah dengan kemunculan semula veteran DAP yang ‘celupar’ sekali gus membangkitkan sentimen kemarahan terhadap DAP yang terus konsisten dengan impian kesamarataan dan menggugat kaum Melayu Bumiputera, atau setidak-tidaknya menakutkan kaum majoriti di negara ini.

Para pengundi yang mengenang jasa juga telah hilang, atau telah ramai yang meninggal dunia. Segmen inilah yang merupakan ‘bank pengundi’ Melayu bagi parti tertua UMNO. Malaysia sekarang, terima kasih kepada Syed Saddiq – perlu berhadapan dengan ‘pengundi tidak matang’, atau undi 18 tahun yang semestinya bersikap anti-establishment kerana tertarik berita sensasi, tular dan ‘panas’. Berita seumpama itu akan digunakan secara maksima oleh PN kerana akan lebih mendapat perhatian. Jika PH di sebelah pembangkang pun, pasti ramai golongan 18 ini akan suka mengikut PH di TikTok. Hakikatnya kini, golongan undi 18 masih memihak kepada PN terutamanya Pas.

- Advertisement -

Perdana Menteri juga tidak belajar dari kesilapan sewaktu beliau bersama dalam kerajaan PH era Tun Dr Mahathir apabila memberi kuasa yang terlalu besar dan terkehadapan pada menteri DAP. Parti yang telah 7 dekad bermusuh dengan UMNO itu perlu berada di belakang tabir jika kerajaan ikhlas ingin mengembalikan kenaikan sokongan orang Melayu. Mustahil dalam masa setahun UMNO dapat memberi penerangan kepada akar umbinya yang mana mereka telah menanam kebencian terhadap DAP sejak sekian lama.

Kerajaan tidak ada pilihan lain. Tiada komponen parti di dalam kerajaan yang boleh mengembalikan sokongan orang Melayu selain dari UMNO. Tetapi UMNO harus diberi ruang semula untuk memainkan peranan itu.

Anwar harus sedar bahawa sokongan Melayu terhadap PKR adalah sangat rendah dan kehadiran Parti Amanah Negara (Amanah) hanya sekadar ilusi atau mimpi di siang hari jika mereka ingin menandingi Pas.

Bahkan prestasi Anwar yang digambarkan mewakili idealisme Malaysia Madani dilihat kurang memberangsangkan malah semakin kehilangan aura berbanding semasa menjadi Ketua Pembangkang kerana terlalu kerap menyerang ahli-ahli perniagaan serta tokoh-tokoh Melayu. Ia menjarakkan lagi sokongan orang Melayu terhadap Anwar.

Empat tahun yang ada ini, Anwar harus terbuka memberi mandat kepada UMNO untuk menjadi jaguh kepada orang Melayu. Secara langsung akan mengukuhkan kekuatan kerajaan Madani, memberi kestabilan kepada negara dan membolehkan kerajaan Madani menang pada PRU16 kelak.

Ahmad Nawab – Kuala Lumpur

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img