spot_img
spot_img

PH menang jika peratus mengundi lebih 80 peratus – Rafizi

spot_img

SHAH ALAM : Pakatan Harapan (PH) meramalkan kemenangan majoriti mudah jika jumlah peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) esok, melebihi 80 peratus.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata jika jumlah peratusan mengundi adalah antara 70 ke 72 peratus, PH mampu menang lebih 90 kerusi Parlimen, yang memerlukan PH membentuk gabungan.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR, berkata berdasarkan aliran trafik dan tiket pengangkutan awam yang terjual untuk rakyat pulang mengundi, memberi gambaran jumlah keluar mengundi kali ini lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.

- Advertisement -

“Anggaran kami setakat ini, jumlah peratusan mengundi akan melepasi 70 peratus, cuma kebimbangan kami, jumlah itu tidak melepasi angka berkenaan.

“Jadi, saya mohon orang ramai keluar mengundi pada sebelah pagi supaya kita dapat mencapai antara 80 ke 82 peratus kerana ia akan membantu kepada satu keputusan pilihan raya yang lebih stabil kepada negara.

“Kita tahu, dengan jumlah undi yang tinggi akan membantu PH menang dengan lebih banyak kerusi Parlimen, melebihi 100 kerusi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

- Advertisement -

Faktor lain yang mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya esok, katanya adalah undi anak muda, iaitu pengundi kali pertama berusia 18 hingga 21 tahun.

“Disebabkan kita tidak pernah ada data, begitu sukar untuk ramalkan bagaimana undi kali pertama oleh pengundi muda ini.

“Selain itu, sejak sebulan lalu, angka menunjukkan tahap sokongan kepada PH dalam kalangan pengundi berusia 55 tahun ke atas meningkat mendadak.

“Ini bermakna kelebihan yang ada pada Barisan Nasional (BN) iaitu sokongan daripada golongan itu sebelum ini, semakin pudar,” katanya.

Selain itu, Rafizi berkata, persaingan sengit berlaku di banyak kerusi Parlimen disebabkan tiga gabungan parti politik yang bertanding, dengan margin kemenangan lebih kecil iaitu sekitar lima peratus, berbanding PRU14.

“Apabila julat margin kecil, sama ada PH mendahului atau di belakang, perubahan kecil iaitu kira-kira dua atau tiga peratus mampu menukar keputusan.

“Perubahan itu bergantung kepada jumlah yang keluar mengundi dan keputusan pengundi muda,” katanya.

Data parti itu juga menunjukkan jumlah pengundi atas pagar semakin mengecil, iaitu daripada 30 ke 20 peratus sejak beberapa minggu lalu, namun beliau yakin golongan itu kebanyakannya sudah membuat keputusan mereka, namun tidak mahu mendedahkannya.

“Golongan itu kebanyakannya pengundi Melayu kerana kita tahu, sokongan pengundi Cina kepada PH boleh melepasi 80 peratus dan pengundi India, melepasi 70 peratus.

“Perbezaan sokongan Melayu kepada PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) terlalu kecil, antara dua ke tiga peratus. BN tidak lagi mendapat sokongan yang begitu besar seperti sebelum ini,” katanya.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img