spot_img
spot_img

Penyandang atau muka baru di Alor Gajah ?

spot_img

Ayer Keroh 5 Nov : Penyandang kerusi Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yakin pengundi di sini akan memberi mandat sekali lagi kepada beliau. Ketika ditemui selepas penamaan calon, beliau yakin pengundi di sekitar Alor Gajah akan memberi undi kepada calon tempatan yang telah sedia berkhidmat.

(Ditemui pemberita di bilik gerakan utama Parlimen Alor Gajah)

- Advertisement -

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Wan, berjanji akan meneruskan segala inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan dan yang terbantut akibat wabak Covid19 selama dua tahun sebelum ini.

“Sepanjang Pak Wan di Alor Gajah, kita telah banyak membantu rakyat susah, memudahkan kehidupan seharian rakyat, baiki rumah-rumah usang dan ada yang berjaya kita dapatkan rumah baru untuk mereka. Kita juga sering bersama-sama di masjid-masjid dan memberikan van-van jenazah untuk umat Islam di sekitar kawasan sini”, katanya.

- Advertisement -

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Bousted Holding Berhad, mendapat persaingan empat penjuru di PRU15 kali ini. Bekas Ketua Menteri Melaka atas tiket Pakatan Harapan Adly Zahari, Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan dan calon parti Pejuang Muhammad Nazriq Abdul Rahman mempertaruhkan kebolehan masing-masing bertanding di sini.

(Dari kiri Shahril, Adli, Pak Wan, Nazriq – pertarungan 4 penjuru di Alor Gajah)

Pak Wan mahu isu banjir di Alor Gajah perlu diselesaikan segera. “Pak Wan sedih bila tiba musim banjir, kita melawat Pusat Pemindahan Sementara, wajah yang sama juga kita jumpa untuk memberi bantuan. Pak Wan selalu menyuarakan isu banjir di Parlimen dan akan memastikan masalah banjir diselesaikan segera selepas ini”, katanya.

Apabila ditanya pemberita berkenaan cabaran calon muda dari BN, beliau yakin bahawa anak muda lebih terjamin di bawah kepimpinannya kerana beliau lebih berpengalaman. “Sebagai contoh lihat inisiatif yang Pak Wan bina iaitu Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 semasa di dalam kerajaan, kita telah membuat dasar keusahawanan untuk anak muda supaya berdaya saing dan dihormati di peringkat global”, ujarnya.

Pak Wan pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Kabinet di Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi sebelum jatuhnya kerajaan PH. Kemudian beliau menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional. Memperoleh kemenangan pada PRU14 dengan majoriti sebanyak 6,980 dari jumlah undi 29,330 atas tiket PH dari parti Bersatu. Menewaskan calon BN, Wong Nai Chee (22,350) dan Nazree Aris dari PAS (6,135)

Alor Gajah merupakan kerusi tradisi MCA selama tujuh penggal sebelum dikalahkan oleh PH pada PRU14 yang lalu.

Apabila ditanya berkenaan undi dari bukan Melayu yang mungkin akan beralih daripada mengundi dirinya, beliau yakin semua masyarakat mahukan calon yang terbaik untuk mewakili mereka. “Pola pengundian PRU15 tidak sama dengan PRU14. Tetapi kini pengundi akan lebih memilih calon yang mereka kenal, mudah didekati, selalu ada di kawasan dan mempunyai rekod latar belakang yang bersih. Masyarakat bukan Melayu di sini juga kenal Pak Wan seorang yang moderate (sederhana), bukan ekstrem perkauman mahupun agama”, tegasnya.

Rakyat Malaysia akan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih untuk undi awal pada 15 November 2022 dan hari pengundian sepenuhnya ialah pada 19 November 2022.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img