spot_img
spot_img

Kepada pinjam, menjadi tabung – Wan Saiful

spot_img

Kuala Lumpur 16 Julai : Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sudah melalui dua dekad menabur bakti kepada rakyat Malaysia bagi melanjutkan pengajian di peringkat tinggi di institusi pengajian awam mahupun swasta. Ia diwujudkan pada tahun 1997 semasa Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Pendidikan.

Pengerusi PTPTN  sebelum ini semuanya adalah lantikan daripada ahli politik (ahli parlimen) UMNO. Buat pertama kali dalam sejarah, untuk tempoh empat tahun Datuk Wan Saiful Wan Jan daripada parti Bersatu dilantik menjadi Pengerusi PTPTN yang bermula pada 18 Jun 2018, diperbaharui semula pada 2020, dan tamat baru-baru ini pada 17 Jun 2022. Ini kerana Bersatu merupakan gabungan daripada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi pilihanraya umum ke 14, dan kemudian mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas mereka meninggalkan PH. Jawatan yang disandang dalam politik oleh Wan Saiful ialah Ketua Penerangan Bersatu walaupun tewas di parlimen Pendang pilihanraya lalu.

Di dalam perkongsian beliau di facebooknya, cabaran selama 4 tahun di dalam mengetuai PTPTN, ada yang berjaya diatasi dan ada yang perlu diteruskan oleh penggantinya. Antara masalah utama yang dihadapi oleh PTPTN ialah model operasinya yang berfokus kepada memberi pinjaman semata-mata.  Model sumber kewangan dari PTPTN ialah , PTPTN mendapat pinjaman wang untuk memberi pinjaman pendidikan kepada pelajar, dari pasaran kewangan pada kadar faedah yang tinggi. Dengan pinjaman yang diterima tersebut, PTPTN memberi pinjaman kepada pelajar pula pada kadar faedah yang rendah. Walaupun ia dijamin kerajaan, namun menurut Wan saiful ia adalah model operasi songsang dan PTPTN akan sentiasa berada di dalam hutang yang besar. Pada tahun 2018 PTPTN mempunyai hutang berjaminan kerajaan sebanyak lebih RM40 bilion.

- Advertisement -

Cabaran kedua adalah pendidikan dan budaya membayar hutang pinjaman pelajaran tidak ditekankan kepda rakyat. Akibatnya, peratusan peminjam yang tidak pernah bayar atau tidak konsisten membayar melebihi 51 peratus. Pada tahun 2019, Wan Saiful mendedahkan bahawa satu permohonan baru mungkin terpaksa ditolak bagi setiap RM7,000 yang tidak dibayar kembali oleh peminjam lama PTPTN. Ini membuka mata sesetengah peminjam yang tidak mahu membayar atau mengambil ringan. Ia memberi kesedaran untuk membantu mereka yang lain menerima pinjaman untuk belajar di peringkat tinggi.

Cabaran ketiga menurut beliau adalah, pegawai-pegawai atasan PTPTN terlalu lama berkhidmat. Walaupun mereka amat sayang dan amat berdedikasi kepada PTPTN, tetapi pada waktu yang sama, sukar untuk mereka membawa budaya kerja baru atau disiplin organisasi baru kerana selepas berbelas tahun di organisasi yang sama, mereka tidak pernah terdedah dengan corak pentadbiran yang lebih baik yang mungkin boleh dibelajar dari tempat lain. Apabila terlalu lama melakukan perkara yang sama, budaya kerja lama sudah sebati dalam diri dan idea-idea baru sukar untuk dilaksanakan demi penambahbaikan PTPTN.

Dengan tiga cabaran utama di atas, Wan Saiful yang pernah mengetuai Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, iaitu sebuah badan pengkaji polisi yang beliau asaskan sehingga mendapat pengiktirafan sebagai salah satu badan pengkaji polisi yang terbaik di Asia memulakan pembaharuan di PTPTN.

- Advertisement -

Pertama, kempen menabung diperhebat dan mewujudkan KPI untuk pengurusan tertinggi. Menabung akan mengurangkan kebergantungan kepada hutang. Wan Saiful di setiap program di seluruh Malaysia menjenamakan semula PTPTN sebagai ‘tabung’ bukan ‘pinjam’. Budaya menabung bermula dari anak kecil oleh ibu bapa mereka bersama PTPTN dimana faedah simpanannya melebihi bank-bank konvensional. Perkara ini tidak pernah ditekankan sebelum ini.

Untuk menggalakkan semua golongan masyarakat menabung, bukan hanya orang kaya, Wan Saiful menghidupkan kempen Geran Sepadan. Bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan, PTPTN akan memberi geran satu ringgit untuk bagi setiap ringgit yang mereka simpan, sehingga maksima RM10,000. Maksudnya, jika mereka simpan RM10,000 dalam masa 10 tahun, penyimpan boleh mengeluarkan RM20,000 apabila anak mereka mendaftar di IPT, kerana PTPTN berikan RM10,000 geran padanan daripada nilai tabungan mereka.

Menurut rekod PTPTN, hasil kempen ini, dalam masa empat tahun sahaja, jumlah kutipan tahunan deposit SSPN meningkat dari sekitar RM700 juta pada 2017 menjadi RM3 bilion pada 2021. Peningkatan lebih empat kali ganda dalam tempoh empat tahun harus diakui adalah hasil yang cemerlang. Ia merupakan suatu sumbangan budaya baru kepada rakyat Malaysia untuk menabung awal untuk pendidikan terutamanya orang Melayu. Tiada siapa pernah menerangkan kelebihan Geran Padanan kepda rakyat biasa sebelum ini hingga mendapat sambutan yang tinggi.

Wan Saiful juga berusaha membawa arus pendigitalan ke dalam kutipan pinjaman dan simpanan PTPTN kepada masyarakat. Ini diakui oleh pemain-pemain industri digital di mana beliau memiliki pemahaman yang tinggi di dalam teknologi digital untuk dibawa masuk bagi memantapkan perolehan PTPTN. Kini PTPTN mempunyai applikasi menyeluruh untuk memudahkan masyarakat menyimpan SSPN dan membayar pinjaman mereka. Pendigital PTPTN berkembang lebih cepat di bawah pentadbiran Wan Saiful sebagai Pengerusi.

Dengan pengalaman yang ada di dalam membuat polisi di negara maju sebagai Penyelidik, Conservative Party Research Department di United Kingdom dan Felo Pelawat Kanan di ISEAS Yusuf Ishak Institute, Singapura, Wan Saiful menyemai budaya kerja baru, dengan mengambil keputusan untuk lantikan CEO melalui proses kompetitif dan bukan berdasarkan “seniority”, iaitu ada iklan terbuka dan mempunyai temuduga oleh Lembaga Pengarah PTPTN. Lantikan CEO adalah secara kontrak untuk PTPTN terus berkembang seiring dengan zaman, tidak hanya tertakluk di bawah ketua yang sama untuk tempoh masa yang panjang. CEO tersebut haruslah menunjukkan KPI yang tinggi bukan hanya sekadar zon selesa di kerusi berjawatan tinggi yang sukar digugat pada kebiasaan pentadbiran kerajaan. Tambah Wan Saiful lagi, beliau mahu mengubah semua jawatan pengurusan kanan di PTPTN kepada status kontrak berdasarkan merit agar lebih mudah bawa masuk budaya dan idea baru, manakala jawatan peringkat pelaksana dan eksekutif pemasaran dijadikan tetap kerana pegawai pelaksana adalah dari golongan yang memerlukan kestabilan kewangan. Ia lebih praktikal kerana pengurusan kanan yang bergaji besar ini hanya beberapa orang saja sebenarnya daripada 1,400 orang jumlah pegawai keseluruhan.

Wan Saiful tidak sempat mengubah corak sumber kewangan PTPTN iaitu menerima pinjaman pada kadar faedah yang tinggi dan memberi pinjaman pada kadar faedah yang rendah. Beliau mencadangkan supaya PTPTN diletakkan di bawah kawal selia Kementerian Kewangan, bukan Kementerian Pengajian Tinggi kerana PTPTN ialah institusi kewangan, bukan institusi pengajian tinggi. Di bawah Kementerian Kewangan, PTPTN akan boleh ditadbir dengan lebih profesional. Tetapi political will ke arah itu tidak berjaya direalisasikan oleh mereka yang lebih berkuasa.

Akibatnya menurut Wan Saiful, hingga hari ini birokrasi dalaman PTPTN menjadi panjang. Beliau berkongsi pengalaman di mana keputusan pelaburan tertangguh berbulan-bulan lamanya tanpa sebab di Kementerian Pengajian Tinggi. Menurut beliau lagi, yang rugi ialah pendeposit SSPN berjuta-juta orang kerana pulangan pelaburan adalah sensitif kepada peredaran suasana semasa.

Secara ringkasnya, Wan Saiful mahukan legasinya yang berjaya di PTPTN diteruskan :

1. Tumpuan kepada kempen menabung yang dimulakan pada 2018 mesti diteruskan.
2. Sumber dana seperti zakat perlu diteroka untuk membiayai pendidikan tinggi.
3. Bank perlu diajak untuk turut memberi pinjaman pendidikan dengan “interest subsidy” dari kerajaan agar kos pinjaman kekal rendah
4. PTPTN mesti memberi tumpuan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah tanpa mengira bangsa dan kaum.
5. Sebagai institusi kewangan, PTPTN dipindahkan daripada Kementerian Pengajian Tinggi kepada Kementerian Kewangan.

Akhir sekali, di dalam kenyataannya, Wan Saiful menyeru agar PTPTN tidak dijadikan alat politik. Menurutnya ahli politik harus sedar bahawa PTPTN rosak sehingga menjadi bom jangka kepada kewangan negara kerana ada ahli politik tidak bertanggungjawab yang mempergunakan PTPTN untuk faedah politik jangka pendek. Buktinya, hutang dan kos dana yang beliau warisi akibat daripada model operasi songsang yang diwarisi sejak beliau mula menjadi Pengerusi ialah sebanyak RM40 bilion.

Beliau telah merangka cara untuk PTPTN keluar dari masalah tersebut dan berharap selepas ini ia perlu dilaksanakan dengan tegas. “Jangan jadikan PTPTN bola sepak politik sehingga ia menjadi satu lagi skandal seperti 1MDB. Nanti kosnya tinggi kepada negara”, ujar beliau.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img