spot_img
spot_img

Majlis Kemakmuran Bumiputera jangan hanya sekadar janji manis

spot_img

ANALISIS

SELAMA berpuluh tahun negara cuba mengangkat taraf dan membangunkan ekonomi bumiputera namun tiada kejayaan signifikan yang dapat dilihat.

Paling popular ialah kegagalan kerajaan mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera. Dari Dasar Ekonomi Baharu (DEB) ke Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB); dari Rancangan Malaysia Kedua (RMK-2) sehingga RMK-12, 30 peratus ekuiti bumiputera gagal dicapai.

- Advertisement -

Kini, kerajaan melancarkan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) pula dengan matlamat yang sama: membangunkan ekonomi bumiputera.

Memetik Jane Fulton dari novel Sudden Death, kegilaan adalah melakukan perkara sama berulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza. Maka, eloklah kita tidak menjadi gila dan lakukan perubahan kepada usaha membangunkan ekonomi bumiputera.

Perubahan terpenting yang perlu menjadi teras dalam TPB2030 adalah menangani sabotaj ekonomi. Ini intipati utama bab Keberhasilan Bumiputera dalam WKB2030 dan wajiblah ia diteruskan dalam TPB2030.

- Advertisement -

Pusat Pentadbiran, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) merujuk sabotaj ekonomi sebagai amalan penyelewengan objektif sebenar dasar yang dicipta untuk meningkatkan taraf sosioekonomi negara dan merapatkan jurang ekonomi antara kumpulan etnik termasuk rasuah, monopoli, pecah amanah, pengaturan proksi, ali baba, perjanjian perdagangan bebas yang tidak adil dan manipulasi data.

WKB2030 meletakkan aktiviti sabotaj ekonomi seperti ketirisan dalam perolehan kerajaan sebagai antara punca agenda pemerkasaan bumiputera gagal memberi kesan yang menyeluruh.

Ini dapat dilihat pada data-data yang ada. Contohnya, seperti dinyatakan dalam buku WKB, sebahagian besar daripada perolehan kerajaan selama 20 tahun sejak RMK-7 hingga RMK-10 bernilai RM1.1 bilion diberikan kepada kontraktor bumiputera namun sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera masih berada di bawah paras sembilan peratus pada 2015.

Begitu juga dengan pemilikan ekuiti korporat. Pada 2011, pemilikan ekuiti korporat bumiputera berada pada trajektori yang baik pada 23 peratus namun ia turun kepada 16 peratus pada 2015. Dalam tempoh yang sama, pemilikan ekuiti korporat asing meningkat daripada 37 peratus kepada 45 peratus.

WKB meletakkan kesalahan kepada liberalisasi ekonomi sejak 2002 dan pembubaran Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) pada 2009.

Sabotaj ekonomi adalah virus yang merosakkan segala usaha membangunkan ekonomi bumiputera. Ia nila dalam susu sebelanga.

Sehubungan itu, Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) perlu mengerah idea untuk menangani masalah sabotaj ekonomi bagi memastikan TPB2030 benar-benar dapat mencapai matlamatnya.

Cukup-cukuplah bumiputera di negara ini digula-gula dengan dasar yang menjanjikan pemerkasaan tetapi hasilnya seperti naik bukit tak dapat angin; tapainya rosak kerana ragi. – UTUSAN/KU SYAFIQ KU FOZI

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img