spot_img
spot_img

IPhone 12 jejaskan peranti perubatan?

spot_img

NEW YORK: Apple Inc. memberi amaran kepada pemilik iPhone bahawa telefon pintar keluaran syarikat tersebut boleh mengganggu prestasi peranti perubatan termasuk alat perentak jantung.

Menerusi notis yang diterbitkan dalam halaman sokongan Apple, Sabtu lalu, syarikat itu memperluas maklumat keselamatan yang dikeluarkan sebelum ini dengan memberi amaran kepada pengguna bahawa iPhone mengandungi magnet dan radio yang memancarkan medan elektromagnetik.

Syarikat itu memberitahu kedua-dua punca itu boleh mengganggu peranti perubatan seperti alat perentak jantung dan defibrilator.

- Advertisement -

Pemberitahuan yang dikeluarkan secara khusus memberi amaran kepada pengguna mengenai ‘magnet di dalam’ keempat-empat model iPhone 12 di samping aksesori MagSafe.

Apple turut memberitahu, versi iPhone 12 mengandungi lebih banyak magnet berbanding model sebelum ini tetapi menyatakan ia tidak menimbulkan risiko gangguan magnetik lebih besar kepada peranti perubatan daripada model sebelumnya.

Syarikat itu dalam kemas kini terbaharu memberitahu, peranti perubatan yang mengandungi sensor mungkin bertindak balas terhadap gelombang magnet atau radio berdekatan.

- Advertisement -

Pengeluar telefon mudah alih itu mengesyorkan agar pengecas iPhone dan MagSafe berada pada jarak ‘selamat’ daripada peranti perubatan iaitu enam inci atau jarak 15 inci ketika mengecas tanpa wayar.

Pengguna juga dinasihatkan tidak meletakkan kad kredit, peralatan keselamatan, passport atau kunci kotak keselamatan antara telefon dan pengecas MagSafe kerana gelombang magnet yang ada boleh merosakkan cip RFID perkakas berkenaan.

Ketika Apple melancarkan iPhone 12 pada musim luruh lalu, syarikat itu juga mengumumkan pengembalian MagSafe iaitu ciri yang paling disukai dalam MacBook bagi iPhone.

Pelanggan boleh membeli pengecas MagSafe untuk memasang peranti mereka tanpa wayar dan aksesori magnetik lain termasuk selongsong dan dompet yang melekat di bahagian belakang telefon.

Apple bagaimanapun tidak memberi respon terhadap permintaan mengenai mengapa baru sekarang ia memperluas panduan keselamatan.

Walau bagaimanapun, jurnal Heart Rhythm dalam laporannya awal bulan ini mendakwa magnet yang terkandung dalam iPhone 12 yang menjadikannya serasi dengan aksesori MagSafe boleh mengganggu defibrilator.

Pakar kesihatan telah lama mengingatkan agar tidak menggunakan atau memegang telefon pintar terlalu dekat dengan peranti perubatan.

Apple dalam notis tersebut memberitahu untuk merujuk doktor atau pengeluar peranti perubatan bagi mendapatkan maklumat khusus bagi peranti tersebut dan sama ada perlu menjaga jarak antara peranti perubatan dengan iPhone atau mana-mana aksesori MagSafe.

“Pengilang sering memberi cadangan mengenai penggunaan peranti mereka dengan selamat di sekeliling produk tanpa wayar atau magnet untuk mengelakkan kemungkinan berlaku gangguan,” kata­nya. – AGENSI

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img