TERKINI
Dalam Negara Hiburan

Royalti pemuzik, penyanyi diagih Jumaat ini

January 27, 2021 10:39 am – Zulkiflee Azmee

KUALA LUMPUR: Penantian penggiat seni muzik yang terkesan dengan pembubaran konsortium Music Rights Malaysia (MRM) sejak dua tahun lalu, berakhir, apabila mereka bakal menerima bayaran pendahuluan royalti tertunggak sebanyak RM500 setiap seorang, mulai Jumaat ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata agihan pertama bakal dimanfaatkan lebih 1,500 penyanyi dan pemuzik rakaman yang menjadi ahli Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) yang layak.

“Seperti yang dijanjikan dan dipersetujui sebelum ini, kita akan membayar sebanyak RM500 setiap orang melalui Unlogged Performance Allocation (UPA).

“Agihan ini bermula Jumaat ini dan membabitkan dana royalti tertunggak sebanyak RM11,788,347.18.

“Seramai 1,134 ahli RPM dan 396 ahli PRISM akan menerima bayaran pendahuluan ini.

“Baki agihan akan diagihkan berdasarkan laporan penggunaan lagu yang diperoleh daripada stesen televisyen (TV) dan radio tempatan,” katanya pada sidang media virtual dari pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Rosol berkata, pembayaran royalti itu diharap dapat meringankan beban artis dan pemuzik yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Tambahnya, proses pembayaran untuk ahli PRISM akan diurus tadbir oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) dan perkara berbangkit boleh dikemukakan kepada pihak terbabit.

“Bayaran untuk ahli PRISM akan dikendalikan MDI selaku pelikuidasi selepas PRISM gulung tikar pada November 2018.

“Jika ada masalah berkaitan pengagihan ini, bolehlah berhubung dengan jabatan berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mengulas agihan dibuat kepada penggiat seni yang mempunyai keahlian bertindih, Rosol berkata, bayaran dibuat bukan mengikut persatuan tetapi berdasarkan produk atau bentuk persembahan yang dihasilkan dalam tempoh tertentu.

“Ahli bukan dibayar mengikut persatuan yang mereka anggotai tetapi berdasarkan lagu atau produk yang mereka hasilkan untuk tahun tertentu.

“Dalam hal ini, hanya produk yang dikeluarkan untuk 2018 akan diambil kira.

“Mereka perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti penyata atau akuan bersumpah untuk semakan dan pengesahan sebelum sebarang pembayaran dilakukan kepada pihak layak.

“Pihak urus tadbir dan MDI mahu menyelesaikan urusan agihan royalti tertunggak ini dengan segera.

“Kami sasarkan agihan royalti ini akan selesai, April depan,” katanya.

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid