spot_img
spot_img

Belajar dari nasib Trump

spot_img

Donald Trump meninggalkan White House dalam suasana sepi minggu lalu. Tiada sorakan seperti ketika berkempen.

Tiada teriakan penyokong. Kegilaan kepada slogan Make America Great Again yang sinonim ketika kempen menjadi presiden lebih empat tahun lalu mati.

Trump disingkirkan daripada jawatan paling berkuasa di dunia. Cemuhan sebahagian besar rakyat Amerika Syarikat (AS) mengiringi pemergian Trump. Ketika berjalan keluar dari White House, Trump kelihatan seperti pemimpin yang tewas teruk di medan perang, dirinya, dalaman serta moral dipatahkan.

- Advertisement -

Akhbar-akhbar dunia menyambut baik kemasukan Joe Biden dan penyingkiran Trump. Sebuah akhbar di Australia menggunakan tajuk DONALD DUCKS OFF serta karektor Disney Donald Duck di sebelahnya.

Kebencian terhadap Trump bukan kerana dia tidak mahu menerima kekalahan sebaliknya sokongan Trump kepada penyokongnya yang ‘menakluki’ Capitol yang juga simbol demokrasi AS, lokasi Kongres AS bertemu dan lokasi yang mana Presiden baru mengangkat sumpah, menghancurkan imej presiden AS ke-45 itu.

Ini presiden yang dipertimbangkan untuk tindakan oleh Kongres kerana membenarkan rusuhan yang mencemarkan Capitol.

- Advertisement -

Ini presiden yang sering menyalahkan orang lain. Menuduh media yang tidak sehaluan sebagai penyebar fake news, menghalang kemasukan orang Islam ke AS, membina tembok dengan Mexico, mencetuskan perang perdagangan dengan China, membelakangkan sekutu seperti Perancis, UK, dan Jerman. Menuduh Rusia dalang kempen pemilihan presiden.

CNN dalam laporannya memetik tulisan Tim Naftali, pengkaji sejarah presiden dalam The Atlantic: Donald Trump is the worst president America has ever had (Donald Trump adalah presiden paling teruk pernah dimiliki Amerika).

Pada akhir `kehidupan’ sebagai presiden, orang paling berkuasa di dunia termasuk mempunyai kod untuk melancarkan ratusan peluru nuklear disisihkan termasuk lingkaran dalaman pentadbirannya. Malah Twitter membatalkan akaun Trump. Orang paling berkuasa dengan senjata nuklear tapi tidak ada akaun Twitter. Bukankah ia sungguh memalukan?

Pemimpin politik tempatan harus mengambil iktibar apa yang berlaku kepada Trump. Melabel apa sahaja yang tidak disukai sebagai fake news tidak akan membantu. Menyalahkan orang lain selamanya tidak akan diterima.

Terus berpegang kepada pendirian serong akan mengundang padah. Ketidakjujuran akan diketahui akhirnya. Malaysia di persimpangan yang getir. Pemimpin yang menjadi menteri 35 tahun lalu masih berharap. Ramai tercalar kes rasuah masih menyimpan hati.

Kerjaya politik di Malaysia seperti tiada tarikh luput seperti produk makanan. Perkataan bersara tiada dalam perbendaharaan kata. Harus diingat, terdapat tujuh juta pengundi baharu menjelang Julai ini dan mereka yang tidak jujur akan mendapat balasan seperti Trump.

Mohamad Azlan Jaafar ialah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img