TERKINI
Politik

TPM: Hierarki, senioriti, personaliti atau integriti?

December 3, 2020 6:38 pm – Bukan Che Ta

INGATKAN sudah senyap. Tapi rupanya isu jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang dengarnya harus diisi oleh orang UMNO muncul kembali.

Dengan UMNO sebagai pemilik kerusi Parlimen terbesar dalam kerajaan, 38 berbanding tonggaknya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 31, selain cuma seorang menyandang menteri kanan berbanding tiga dari Bersatu, tuntutan itu dilihat munasabah.

Apakah yang menyekat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera menamakan timbalannya itu setelah hal ini dibangkitkan kalangan orang UMNO sejak sebulan lepas lagi itu? Hierarki, senioriti, personaliti, integriti atau ideologi yang menjadi kekangannya?

Di pihak Muhyiddin, barangkali dalam dilema kerana kalau tersalah pilih, beliau sendiri akan ikut terpalit dengan keputusannya. Selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang akan membawa panji-panji anggota gabungannya bertarung dalam PRU-15 – dijangka disertai sama Barisan Nasional ditunjangi UMNO – Muhyiddin perlu berfikir panjang dalam soal pemilihan TPM.

Ini khususnya untuk Bersatu sendiri menang PRU yang difahamkan perlu setidak-tidaknya dilangsungkan sebelum Julai 2021 bila mana pendaftaran automatik dibenarkan seawal usia 18 tahun. Dianggarkan tujuh juta mereka berumur 20 tahun, 19 dan 18 layak mengundi waktu itu.

Kelak jika salah percaturan memilih timbalannya, bukan sekadar Muhyiddin berdepan dengan Pakatan Harapan yang menang PRU-14 atas perjuangan integriti, bahkan perlu berdebat dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bekas Perdana Menteri dua kali itu cukup cekap, sering menang pertarungan isu-isu integriti dan 1MDBnya.

Maka jika PRU pun tidak sampai beberapa bulan lagi, apa perlunya diisi jawatan nombor dua kerajaan? Apatah lagi jawatan TPM tiada langsung diberi sebutan atau peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tergolong kepada konvensyen semata-mata.

Begitupun, jika UMNO masih mengkehendakinya, MKT berbincanglah dan buatlah pilihan bijaksana. Lagipun UMNO pasti mahu menebus kekecewaan tumbang 9 Mei 2018. PRU-15 satu-satunya penentu hidup, mati UMNO – yang ideologinya masih didambakan orang Melayu.

Lebih elok tidak uar-uarkan lagi kekuatan politik di masa lalu. Realistik, berpijaklah di bumi nyata. Era ini rakyat begitu bijak menilai. Pertukaran kerajaan dan peralihan kepemimpinan generasi lama ke lapisan muda di banyak negara buka mata pengundi.

Seseorang pemimpin bukan sahaja perlu pandai membuat percaturan politik atau percaturan siasah. Tetapi lebih penting lagi harus mencari dan mendapatkan formula kepimpinan yang bersifat elok dan bijak.

Dan selalu orang berkata: Kalau hendak menjadi pemimpin masa depan, ukurlah baju di badan sendiri.

 

Zulkifli Jalil ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid