TERKINI
BERITA Politik
November 20, 2020 10:50 am – zul
SANDAKAN:┬áPembatalan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi susulan Proklamasi Darurat yang diisytihar Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan langkah terbaik untuk mengekang pandemik COVID-19.
Pengundi di kawasan itu berpendapat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 Sept lalu bukti jelas COVID-19 sukar dikawal ketika berdepan pilihan raya, malah ketika ini Sandakan antara daerah di Sabah yang masih merekodkan kes COVID-19 tinggi dan berada dalam zon merah.
Ketua Kampung Pulau Timbang, Lajim Sumadin, 62, berkata beliau risau dengan 435 penduduk kampung di pulau itu jika rombongan calon datang melawat untuk berkempen sekiranya PRK diadakan dalam keadaan pandemik itu belum reda.
“Potensi penduduk dijangkiti COVID-19 adalah besar dan membimbangkan. Lebih-lebih lagi kedudukan kami agak jauh dari hospital. Kerisauan kami dirasai oleh pemerintah dan kami menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan mengisytiharkan darurat,” katanya kepada Bernama.
Sehingga semalam, daerah Sandakan mencatatkan 1,459 kes aktif COVID-19 dengan 21 kes baharu, dan lima kluster telah dikenal pasti di kawasan Batu Sapi.
Adiknya Paraji Sumadin, 58, pula sentiasa percaya kerajaan tidak akan sanggup membiarkan rakyat menderita, apatah lagi ramai yang terkesan dengan PKPB yang sedang dikuatkuasakan.
“Mereka (kerajaan) telah datang menghulurkan bantuan tanpa mengira latar belakang semasa PKPB ini. Sekarang, mereka prihatin dengan kerisauan kami (terhadap PRK semasa pandemik),” katanya.
Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Lintas Sibuga, Ali Basah Nusol, 61, berkata semua pihak perlu ingat bahawa sekarang adalah masa untuk melawan pandemik COVID-19 dan bukan berebut kuasa manakala PRK Parlimen Batu Sapi boleh difikirkan selepas COVID-19 bukan lagi menjadi ancaman.
Akur dengan tanggungjawab sebagai pengundi di Parlimen Batu Sapi, Ali Basah mengakui rakyat di kawasan itu sangat berwaspada dengan potensi jangkitan COVID-19 dan berharap PRK itu dapat diadakan setelah seluruh Sandakan menjadi zon hijau kembali.
“Masih lagi ada penduduk yang belum menerima bantuan kerajaan. Saya berharap usaha menghapuskan pandemik ini dan membantu rakyat yang terkesan didahulukan sebelum perkara lain,” katanya.
Ibu tunggal kepada empat anak dari PPR Batu Sapi, Junaidah Onik,55, pula bersyukur pentadbiran kerajaan masih boleh berjalan dengan baik, walaupun terpaksa mengorbankan PRK Parlimen Batu Sapi buat sementara waktu.
“Sementara virus itu masih mengganas di kawasan berkenaan, usaha menjaga kebajikan dan kesihatan rakyat perlu diutamakan, termasuk usaha pengagihan bantuan kepada penduduk yang terkesan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.
Al-Sultan Abdullah semalam mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di kawasan Parlimen itu, yang sekaligus membatalkan PRK itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon PRK Batu Sapi pada 23 Nov depan, manakala hari pengundian pada 5 Dis dan pengundian awal pada 1 Dis.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Okt lepas akibat jangkitan paru-paru.
Sumber-AWANI

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid