TERKINI
BERITA PANAS Pendapat Politik

Semua ahli Parlimen Bersatu sokong Muhyiddin

October 12, 2020 11:42 am – zul
SHAH ALAM: Semua ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal teguh memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tidak terlintas di fikiran semua ahli Parlimen itu untuk berpendirian sebaliknya terhadap Perdana Menteri Malaysia kelapan itu.
Menurutnya, dakwaan ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mendapat sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu adalah dakwaan tidak berasas dan bersifat rekaan semata-mata.
“Percaturan beliau (Anwar) untuk menubuhkan kerajaan baharu ini membuktikan bahawa beliau seorang ahli politik yang mementingkan diri.
“Beliau sanggup meletakkan cita-cita peribadi ingin menjadi Perdana Menteri melampaui segalanya sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat.
“Dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson ini juga telah menambahkan kebimbangan dalam kalangan rakyat ketika ini yang amat bergantung kepada kerajaan dalam mengekang gelombang ketiga penularan wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, ujar beliau, Bersatu menyeru kepada semua rakyat untuk tidak menghiraukan dakwaan Anwar.
Katanya, rakyat diminta terus memberikan kerjasama padu kepada kerajaan untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dan seterusnya memulihkan semula ekonomi negara.
Sumber-SINAR

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid