spot_img
spot_img

Calon PN DUN Pintasan mahu bina pelabuhan kecil di Kampung Rampayan Laut

spot_img

KOTA BELUD, 22 Sept — Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan Fairuz Renddan merancang untuk membina sebuah pelabuhan kecil di Kampung Rampayan Laut sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri Sabtu ini.

Ketua Armada Bersatu Sabah itu melihat kedudukan kerusi baharu DUN Pintasan sebagai strategik kerana terletak di pesisiran pantai dan kelak akan menjadi laluan utama Lebuhraya Pan Borneo yang memberi kelebihan kepada kawasan tersebut untuk pesat membangun sekali gus berpotensi melonjakkan lagi sektor ekonomi penduduk.

Beliau berkata ini termasuk mewujudkan sebuah pekan baharu memandangkan DUN Pintasan turut terkenal sebagai destinasi pelancongan yang menjadi tumpuan para pelancong tempatan dan antarabangsa.

- Advertisement -

“Untuk DUN Pintasan, saya lebih fokus kepada pembangunan ekonomi. Saya mahu mewujudkan satu pekan baharu selain mewujudkan pelabuhan kecil untuk kapal-kapal berlabuh memunggah hasil ekonomi.

“DUN Pintasan juga memiliki keunikan tersendiri kerana kawasan ini ada pulau cantik yang terkenal iaitu Pulau Mantanani selain menjadi antara destinasi pelancongan terbaik dan menarik di Kota Belud,” katanya kepada Bernama.

Selain pelancongan, Fairuz, 36, berkata sektor perikanan dan pertanian di DUN Pintasan perlu terus dibangunkan kerana ia antara sumber ekonomi utama penduduk di kawasan itu.

- Advertisement -

Melihat kepada faktor tanah berpasir di pesisiran pantai turut mendorong beliau untuk meluaskan lagi usaha penanaman tembikai bagi membolehkan ia dikomersialkan secara besar-besaran sekali gus menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan belia di kawasan itu.

“Sememangnya di Pintasan, penanaman tembikai sudah dimulakan tetapi belum dikomersialkan secara lebih besar. Justeru, saya bercadang untuk membina sekurang-kurangnya satu kilang untuk industri hiliran tembikai.

“Para petani yang berkecimpung dalam penanaman tembikai akan dibimbing dan sebuah koperasi juga akan diwujudkan bagi menguruskan hasil… Kita juga boleh mengeksport produk-produk,” katanya yang mahu menggalakkan golongan belia di DUN Pintasan menceburi bidang pertanian kerana ia adalah sumber ekonomi yang mampu memberikan pulangan lumayan.

PRN Sabah bakal menyaksikan Fairuz berdepan lima pencabar dalam persaingan enam penjuru bagi merebut kerusi DUN Pintasan, satu daripada DUN baharu yang ditawarkan pada pilihan raya 26 Sept.

Mereka ialah Ketua Umum USNO Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Padlan Samad (Parti Cinta Sabah), Roslan Mayahman (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Mohd Sarian Saludin (Parti Warisan Sabah) dan seorang calon Bebas Datuk Almudin Kaida.

DUN Pintasan mempunyai 10,867 pengundi dengan 40 peratus daripadanya adalah pengundi muda berumur lingkungan 21 hingga 39 tahun.

Sumber-BERNAMA

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img