spot_img
spot_img

PRU15 libat Parlimen sahaja

spot_img

SHAH ALAM – Landskap politik tanah air dijangka berubah 360 darjah apabila beberapa negeri sudah memberi isyarat tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Terbaharu, kerajaan Kelantan semalam turut membayangkan tidak akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di peringkat DUN sekaligus mengikut jejak langkah kerajaan Kedah yang mengumumkan pendirian sama semalam.

Pendekatan terkini berkemungkinan diambil beberapa negeri seperti Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan itu menyaksikan PRU15 dijangka hanya akan dilaksanakan di peringkat Parlimen sahaja.

- Advertisement -

Bercakap kepada media di Machang, Kelantan semalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bagaimanapun menegaskan perkara itu masih dalam perbincangan kepimpinan kerajaan negeri.

“Atas kaedah biasa saya rasa tidak ada keperluan untuk negeri (DUN) dibubarkan. Apa yang perlu kita lihat kestabilan di peringkat Parlimen. Pandangan saya, kemungkinan besar hanya di peringkat Parlimen sahaja,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan mengulas demikian sewaktu ditanya mengenai pendirian negeri itu sama ada membubarkan DUN jika berlaku PRU.

- Advertisement -

Dalam tradisi politik Malaysia, hanya negeri Sarawak mempunyai pilihan raya Parlimen dan DUN yang berasingan manakala negeri-negeri lain ia diadakan serentak pada setiap kali PRU.

Dalam konteks Kelantan pada masa sekarang, Ahmad berpandangan tiada keperluan DUN Kelantan dibubarkan kerana kerajaan negeri berada dalam suasana stabil, tidak bermasalah dan tiada pembangkang kerana keseluruhannya dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Kelmarin, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengemukakan pandangan sama dengan menyatakan kerajaan negeri itu tidak berhasrat membubarkan DUN sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

Beliau turut bersependapat dengan Ahmad bahawa tiada keperluan kerajaan negeri berbuat demikian dengan menyifatkan PRN hanya akan membuang banyak masa, tenaga dan sumber yang sepatutnya disalurkan kepada pembangunan negeri.

Semalam, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut berpendapat tidak semestinya DUN dibubarkan walaupun kerajaan PN membubarkan Parlimen dalam tempoh terdekat.

Ahmad Samsuri bagaimanapun berkata, kerajaan Terengganu akan melihat dan menilai keperluan sebelum membuat keputusan itu.

Pada 6 Julai lalu, PH membuat ketetapan negeri-negeri yang ditadbir gabungan itu tidak akan turut serta dalam pilihan raya umum jika ia diadakan sebelum tamat Parlimen.

Ketetapan itu dibuat ketika mesyuarat Majlis Presiden PH dan dimaklumkan dalam satu kenyataan yang ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

PH kini mentadbir tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Pendirian PH turut disambut kerajaan negeri Pulau Pinang dan Negeri Sembilan apabila kedua-dua negeri sudah menyuarakan pendirian untuk mengikut jejak langkah pimpinan PH di peringkat nasional.
Sumber-SINAR

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img