TERKINI
BERITA PANAS Pendapat Politik

Keputusan Rundingan Muda Malaysia diumum dalam masa

September 1, 2020 10:26 am – zul

KUALA LUMPUR – Pertemuan sulung kumpulan pemimpin anak muda dalam Rundingan Muda Malaysia yang berlangsung hampir tiga jam di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini petang tadi berjaya mencapai kata putus.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pertemuan tersebut melibatkan rundingan bersama pemimpin anak muda dari pelbagai latar belakang dan profesion.

Menurutnya, pemimpin anak muda itu berbincang mengenai masa depan negara dan tindakan yang perlu mereka ambil.

“Apa tindakan drastik untuk memastikan bahawa masa depan negara dan anak muda itu dapat diangkat dan juga diperbaiki.

“Alhamdulillah, perbincangan sangat positif dan untuk keputusan mesyuarat tadi, nantikan.

“Keputusan sudah dibuat, cuma tunggu untuk pengumuman dalam masa terdekat,” katanya kepada media ketika ditemui selepas pertemuan secara tertutup itu selesai petang tadi.

Dalam perbincangan yang bermula kira-kira jam 2.15 petang itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, ia dihadiri seramai 30 pemimpin anak muda.

Antara yang hadir, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB), Abdul Jalil Rasheed dan beberapa pengasas syarikat pemula seperti Vinesh Sinha (FatHopes Energy), Nadhir Shafiq (TheLorry) dan Radzi Tajuddin (Hartabumi).

“Pada masa sama ada tokoh daripada aktivis masyarakat seperti Amir Abd Hadi daripada Liga Rakyat Demokratik.

“Ada wakil daripada bidang pendidikan seperti Cheryl Ann Fernando yang mana filem Adiwira diadaptasi daripada kisahnya.

“Ada juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Mutalib Uthman, anak muda yang bermula dari bawah tapi menyahut cabaran dan akhirnya berjaya,” ujar Syed Saddiq.

Turut dilihat hadir ialah Peguam Lim Wei Jiet, Pendakwah Pencetus Ummah, Rahmat Ikhsan (PU Rahmat) dan pemimpin muda politik iaitu Zaidel Baharuddin dan Ulya Aqamah Husamudin.

Ketika ditanya sama ada gerakan Rundingan Muda Malaysia itu akan menyaingi sayap muda parti politik sedia ada, Syed Saddiq berkata, perkara tersebut sudah dicapai dalam keputusan perbincangan hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan bahawa beliau tidak menyertai parti Pejuang yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya beliau akan menubuhkan sebuah parti politik baharu berbilang kaum dengan memberi fokus kepada golongan anak muda.

“Jika di Thailand mereka boleh menubuhkan Future Forward, di Perancis mereka boleh menubuhkan En Marche di bawah Macron, saya rasa sudah sampai masanya di Malaysia untuk menubuhkan gerakan terdiri daripada orang muda.

“Daripada teknokrat, profesional dan ahli politik muda dari pelbagai latar belakang akan bersatu bagi memastikan suara belia mendominasi Parlimen dan di luar Parlimen… akhirnya belia tidak boleh dipandang enteng lagi.

“Sudah sampai masanya untuk politik tidak dikawal dan dimonopoli orang sama,” kata Syed Saddiq kepada Channel NewsAsia ketika berkempen untuk calon Pejuang bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim.

Sumber-SINAR

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid