Pakatan Harapan kesal dengan tindakan speaker Dewan Rakyat yang menangguhkan sidang lebih awal dan tidak memberi laluan terhadap usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dibahas.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang pada jam 4 petang, sedangkan waktu lazim mesyuarat sehingga 5.30 petang, amat mengejutkan.
“Lagipun, untuk perkara penting seperti ini, dewan boleh saja bersidang sehingga lewat malam, contohnya, dewan bersidang sehingga hampir jam 5 pagi pada hari sebelumnya.
“Tindakan speaker ini menghina dewan. Ia juga menyebabkan perbahasan atas RUU355 tertangguh sekali lagi, iaitu kali ketiga.
“Ini membawa fitnah , iaitu seolah-olah mempermainkan RUU355,” katanya lapor Malaysiakini.
Pandikar semalam menggunakan kuasanya untuk menangguhkam ke sesi selanjutnya pada 24 Julai ini.
Penangguhan itu mendorong anggota parlimen pembangkang bangkit mengecam keputusan itu kerana tidak diberi peluang membahaskannya.