Lionel Messi berkata Piala Dunia bulan November ini di Qatar pasti menjadi yang terakhir bagi dirinya.
Bintang bolasepak di posisi penyerang pasukan Paris St-Germain, berusia 35 tahun itu telah bermain di empat Piala Dunia bersama Argentina, menjaringkan enam gol dan membuat lima bantuan berhasil gol dalam 19 penampilan.
Dia memperoleh pingat naib juara pada 2014, selepas mengetuai negaranya merangkul kejuaraan Copa America pada 2021, Piala Dunia adalah satu-satunya trofi utama yang belum ada pada koleksi Messi.
Bercakap kepada ESPN, Messi berkata dia sedang menghitung hari untuk ke kejohanan itu di Qatar. Terdapat kebimbangan dan kegelisahan pada masa yang sama berkenaan keputusan Argentina pada Piala Dunia kali ini.
Messi membuat penampilan pertama di peringkat antarabangsa pada tahun 2005 dan telah membuat 164 penampilan bersama Argentina. Bintang yang selalu dibandingkan dengan Ronaldo itu telah berjaya menjaringkan 90 gol dalam keseluruhan kejohanan antarabangsa.
Ini merupakan kejohanan Piala Dunia yang kelimanya, di mana dia akan melepasi rekod pemain Argentina yang bermain di Piala Dunia sebanyak 4 kali iaitu Diego Maradona dan Javier Mascherano.
Argentina menduduki tempat ketiga dalam ranking dunia Fifa. Mereka di dalam satu kumpulan dengan Arab Saudi, Mexico dan Poland dalam Kumpulan C. Kejohanan di negara teluk itu akan bermula pada 20 November.
“Dalam Piala Dunia, apa sahaja boleh berlaku. Semua perlawanan adalah sangat sukar. Pasukan kegemaran tidak selalunya menang,” kata Messi mengikut pengalamannya di dalam arena bolasepak.
“Saya tidak tahu sama ada kami juga adalah pasukan pilihan, tetapi Argentina sentiasa menjadi calon kerana sejarahnya. (Sekarang) Saya fikir ada pasukan lain yang berada di atas kita.”