KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) – Saham Petronas Gas Bhd dan Petronas Chemicals Group Bhd antara yang paling untung pada sesi pagi hari ini.
Ini berikutan laporan bahawa unit Petronas Chemicals, Petronas Chemicals Marketing (Labuan) Ltd (PCML), menandatangani perjanjian dengan Sarawak Petchem Sdn Bhd.
Sehingga pukul 11.44 pagi, saham Petronas Gas melonjak 72 sen kepada RM19.66 dengan 116,700 saham didagangkan sementara saham Petronas Chemicals meningkat 10 sen kepada RM9.22 dengan 2.02 juta saham didagangkan.
Pada Jumaat lalu, dilaporkan bahawa PCML menandatangani perjanjian dengan Sarawak Petchem untuk memasarkan produk methanol daripada kilang Sarawak Petchem untuk 20 tahun dengan opsyen untuk lanjutan.
Ditubuhkan pada Jun 2017, Sarawak Petchem adalah syarikat pertama milik kerajaan negeri yang menghasilkan methanol, dengan kapasiti tahunan 1.7 juta tan metrik setahun (mtpa).
Kilang berkenaan dijangka beroperasi pada 2022 dan akan menerima 140 juta kaki padu standard sehari (MMSCFD) gas asli daripada Petronas.
— BERNAMA