Parlimen 12 Mac : Rakyat masih menunggu apakah formula yang akan dikemukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperkasakan penguasaan Bahasa Kebangsaan bermula dari bangku sekolah.
Ia adalah hasrat dan titah Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim sewaktu upacara perasmian pembukaan sessi parlimen baru-baru ini.
YDPA tegur ada rakyat Malaysia gagal kuasa bahasa kebangsaan
Tetapi hari ini, melalui menterinya iaitu Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya mengambil pendirian tegas untuk menghormati Akta Pendidikan 1996 yang mengiktiraf kedudukan sekolah jenis kebangsaan atau sekolah vernakular di negara ini dan tidak bercadang untuk menyemak atau membuat sebarang perubahan berhubung sekolah vernakular walaupun perkara tersebut kerap kali dibangkitkan oleh pelbagai pihak.
Aktivis bahasa Melayu, Yusnina Sulaiman, 34 dari Dewan Bahasa dan Pustaka berkata pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan belum lagi mengeluarkan rangka khusus bagaimanakah kaedah didikan dari bangku sekolah mampu meningkatkan penguasaan bahasa Kebangsaan, terutamanya di sekolah jenis kebangsaan.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh mencadangkan supaya penilaian dilakukan terhadap pendidikan vernakular yang melibatkan lebih 1,800 sekolah jenis kebangsaan alam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai-nilai kenegaraan serta penguasaan Bahasa Melayu namun ditempelak oleh ahli parlimen dari DAP.
Kritikan ahli parlimen DAP kepada sekolah kebangsaan wajar dipandang serius
Ketua Pemuda UMNO itu menyarankan kepada kerajaan akan satu kajian menyeluruh dilakukan berhubung ruang dan peluang penambahbaikan ekosistem pendidikan kebangsaan bagi memberi insentif serta tarikan kepada penyertaan murid berbilang bangsa.
Yusnina berkata, walaupun Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek akan meletakkan penguasaan bahasa Kebangsaan sebagai agenda utamanya di jenis sekolah kebangsaan, namun belum ada rangka yang jelas ke arah itu.
”Ia seolah-olah seperti bercakap selamat dalam politik. Soal perpaduan adalah jangka masa panjang. Jangan nanti ada masalah kaum di kemudian hari seperti yang dititahkan oleh Seri Paduka Yang Dipertuan Agong”, ujarnya yang sedar bahawa generasi baharu bukan Melayu tidak lagi bergaul dengan kaum Melayu terutamanya di bandar kerana mereka sama ada belajar di sekolah swasta atau sekolah jenis kebangsaan.
GABUNGAN Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) juga menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada pembukaan mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen-15 lalu berhubung dengan isu perpaduan antara kaum dan kegagalan rakyat Malaysia menguasai bahasa Melayu dengan baik meskipun setelah 60 tahun Malaysia terbentuk.
Untuk mencapai matlamat penguasaan bahasa kebangsaan dan perpaduan dengan baik, GPMS berpandangan bahawa kerjasama merentas kementerian adalah perlu diwujudkan kerana isu perpaduan ini berkait rapat dengan pendidikan.
Oleh yang demikian, GPMS menyeru supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengambil langkah proaktif bagi memperkasakan pendidikan bahasa Melayu di semua peringkat dan institusi naungan KPM.
GPMS juga berpandangan KPM boleh memperkukuhkan pendidikan bahasa Melayu dan seterusnya perpaduan dalam kalangan murid sebagai batu asas kepada pembentukan masyarakat yang bersatu padu di masa hadapan.
Oleh yang demikian, KPM dan lain-lain kementerian termasuklah Kementerian Perpaduan Negara wajar bekerjasama untuk memberikan kesan yang lebih berkesan dan menyeluruh.
GPMS juga mahu semua sektor kerajaan perlu benar-benar merealisasikan penggunaan bahasa Melayu dalam urusannya yang melibatkan orang awam yang juga meliputi kepada agensi kerajaan dan syarikat berkaitan dengan kerajaan.
Hanya dengan ini masyarakat akan faham kepentingan bahasa Melayu dan kedudukan bahasa ini dalam memarakkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat.
GPMS berkata mereka kekal komited untuk menjadi penggerak dalam mempromosikan perpaduan melalui pendidikan dan bersedia untuk membantu kerajaan dalam merealisasikan titah Tuanku Sultan Ibrahim.
GPMS berharap agar kerajaan terus serius dalam meletakkan agenda pemerkasaan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan dijayakan.