spot_img
spot_img

Kementerian Komunikasi, JKOM patut diberi kepada UMNO

spot_img

ROMBAKAN Kabinet baru-baru ini telah memisahkan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang sebelum ini di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) tetapi kini diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi diterajui Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan perpaduan.

Sebenarnya fungsi J-KOM sangat penting dalam menyampaikan mesej kerajaan. Mesej ini bersifat positif dengan menyampaikan fakta-fakta yang benar agar rakyat dapat memahami hasrat murni kerajaan untuk membangunkan negara dan masyarakat.

Hakikatnya, peranan J-KOM adalah untuk membina dan membentuk persepsi kumpulan sasaran. Persepsi dapat difahami sebagai proses minda bagaimana kita membaca, mentafsir dan memahami mesej yang diterima atau menanggapi apa yang berlaku di sekeliling kita.

- Advertisement -

Kini cabaran kerajaan perpaduan adalah sokongan daripada kaum Melayu. Orang Melayu yang membentuk 60% penduduk Malaysia secara majoriti tidak bersama kerajaan perpaduan. Satu-satunya suara orang Melayu yang berada di dalam kerajaan kini ialah UMNO.

UMNO yang telah lama mentadbir negara pastinya lebih mahir dan berpengalaman akan cara mereka melakukan ‘perang saraf’ melalui penerangan untuk menangkis serangan musuh politik yang kini semakin kuat dengan naratif kaum dan agama Melayu Islam.

PKR atau Amanah harus jujur, mereka langsung tidak melambangkan suara orang Melayu dan mereka sebenarnya dibayangi oleh parti DAP.

- Advertisement -

Persepsi buruk terhadap Pakatan Harapan (PH) yang kini membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional (BN) telah menjadi stigma yang tidak betul dan negatif dalam minda orang Melayu sejak ia ‘ditanam’ dengan begitu lama. Dicampur dengan ‘pembunuhan karektor’ yang hebat kepada pemimpin-pemimpin UMNO oleh bekas pemimpin UMNO sendiri sebelum PRU14, telah menghasilkan perubahan pola undi sokongan orang Melayu kepada PAS dan Bersatu.

Serangan yang dilakukan berulang-ulang dan konsisten oleh pihak pembangkang sebelum PRU14 itu berjaya membentuk persepsi buruk terhadap kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN).

Kempen pembangkang untuk menguasai minda melalui politik persepsi telah dijana dengan begitu berkesan sekali melalui ceramah-ceramah politik, penyebaran risalah dan penggunaan media sosial.

Minda kebanyakan rakyat telah dibentuk dengan persepsi yang mencemarkan imej kerajaan sehingga mendorong mereka membuat kesimpulan dan tindakan berasaskan persepsi diyakininya itu.

UMNO yang begitu lama dilihat sebagai parti induk dalam BN membela semua rakyat tanpa mengira kaum telah dipersepsikan sebagai parti korup, menzalimi rakyat dan tidak relevan secara total.

Pembangkang berjaya mempersepsikannya sedemikian semata-mata untuk berkuasa dan menjadi kerajaan.

Pembangkang berjaya membina dan mempamerkan imejnya sebagai parti yang boleh membela rakyat, parti yang memerangi rasuah, telus dan pelbagai lagi imej-imej indah diciptanya melalui persepsi ditanamkan ke dalam minda rakyat. Namun jelas kini mereka juga terpalit dengan isu-isu rasuah, tetapi masih tidak dapat menewaskan mereka dengan kes-kes tersebut, kerana ‘bencinya’ orang Melayu terhadap UMNO-BN.

Hakikatnya, aktiviti propaganda digunakan oleh pembangkang dengan memanipulasi mesej atau informasi bercampur baur antara yang diputarbelitkan atau disalahgunakan telah berjaya mencapai matlamat peperangan persepsi dalam menawan minda dan psikologi sehingga pembangkang berjaya mendapatkan sokongan rakyat.

Akhirnya, dengan strategi perang persepsi yang tepat dan berkesan inilah, pembangkang berjaya meraih sokongan dan undi rakyat sehingga menumbangkan UMNO-BN.

Oleh itu selayaknya UMNO-BN harus mengetuai propaganda ini jika kerajaan perpaduan inginkan semula sokongan orang Melayu pada PRU16 kelak. Kerajaan Perpaduan boleh selesa dengan majoriti undi bukan Melayu kerana dokongan DAP yang padu, namun tidak majoriti orang Melayu.

Peranan ini harus diketuai oleh UMNO supaya dilihat kedepan dan lebih menonjol untuk mendapat kembali kepercayaan orang Melayu kepada kerajaan dan menangkis propaganda pembangkang bahawa DAP berkuasa sepenuhnya di dalam kerajaan.

 

MOHD AIZUDDIN YAHYA – UTHEM 

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img