GEORGE TOWN, 5 Mei — Kerajaan Perak bersetuju membekalkan air ke Pulau Pinang melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dipersetujui Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
“… berita gembira itu kita terima kerana Tuanku Sultan Nazrin dan kerajaan negeri Datuk Seri Saarani berkenan menyediakan bekalan air dari Sungai Perak yang mengalir melalui industri hijau Kerian, sekurang-kurangnya ke Seberang Perai. Fasa pertama akan sampai ke Seberang Perai termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap.
“… Saya (juga) percaya dengan hubungan yang lebih baik dengan Kedah sejak kebelakangan ini, pendekatan yang lebih profesional boleh dirundingkan untuk keperluan Pulau Pinang untuk bekerjasama dengan Kedah dari segi bekalan air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara yang diadakan serentak dengan Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai cadangan projek lapangan terbang di Kulim, Kedah, Anwar berkata infrastruktur itu melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri dan persekutuan yang perlu dikaji dengan teliti dengan mengambil kira semua faktor.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini juga bersetuju untuk meneruskan rundingan itu, tetapi akan mengikut proses yang sepatutnya.
Malah, Anwar berkata projek itu belum selesai berikutan pengumuman awal, kerana ia kurang dikaji dan tidak mengikut sepenuhnya prosedur yang diperlukan.
“Kita (kerajaan) tidak pernah menolak untuk membincangkan dan meneliti semua faktor. Kita minta supaya proses itu dipatuhi kerana ada bidang kuasa mutlak negeri dan ada bidang kuasa mutlak persekutuan.
“Kita mengambil kira sebarang bantahan dari segi laluan penerbangan, isu keselamatan dan bantahan daripada tentera udara. (Selain itu), di manakah kargo yang diunjurkan dan sama ada kargo itu mencukupi, kita akan bincangkan semua itu.
“Saya serahkan kepada Kementerian (Pengangkutan) dan jawatankuasa teknikal dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan. Kemudian jika mereka rasa perlu disegerakan, kita cepatkan kerana jika projek ini memberi manfaat kepada rakyat, jadi saya tidak ada masalah langsung,” katanya.
Sumber — Bernama