*ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) TIDAK MENYOKONG MAHATHIR SEBAGAI CALON PERDANA MENTERI*
Semalam DAP melalui Sdr Anthony Loke telah menyatakan secara terbuka mengenai kesediaan untuk menyokong Mahathir sekali lagi sebagai Perdana Menteri.
Maaf, saya dan rakan-rakan AMK tidak bersetuju.
Saya percaya pendirian kami ini mewakili suara akar umbi KEADILAN dan pendokong Pakatan Harapan (PH).
Memang benar, jika dibiarkan Perikatan Nasional berkuasa, maka keadaan akan terus bertambah mudarat. Tetapi sudah-sudahlah dengan kaedah memilih kejahatan dari kalangan jahat-jahat ‘lesser than two evils’.
Sekiranya rakan-rakan lain mahu mengembalikan mandat rakyat, yakinkan yang berlima itu untuk menyokong PH, bukannya menggadaikan sokongan kita buat kali kedua.
Kewajaran PH untuk membentuk kerajaan adalah untuk membawa perubahan ke arah kebaikan dan membela rakyat kebanyakan, bukan dibelenggu dengan ketidak tentuan atau polemik berpanjangan.
Ingatlah, kejatuhan kerajaan PH tidak akan berlaku sekiranya Perdana Menteri ketika itu tidak meletakkan jawatan tanpa perbincangan dengan PH.
Kita bukan tidak sedar, pintu belakang sebenarnya dibuka jauh lebih awal yang mana mandat rakyat telah dikhianati dan dipijak begitu sahaja.
Sebagai contoh, KEADILAN tidak pernah mencadangkan Azmin dan kartelnya untuk dilantik sebagai Menteri, tetapi beliau angkat juga dan tubuh kabinet ikut seleranya.
Dasar pecah perintah sebegini rupa menyebabkan habis porak-peranda parti. Sampai sekarang, tindakan Azmin dengan Langkah Sheraton-nya langsung tidak dikecam.
Bila ditanya atau mohon pertimbangan, mulalah ditunjuk taring kuasa eksekutif.
Ketika kita ada sokongan rakyat dan memiliki panduan yang jelas, perjuangan PH diketepikan dan keputusan-keputusan Mesyuarat Majlis Presiden (dasar PH, peralihan, Majlis Tindakan Negeri dan lain-lain) terus-menerus tidak dipedulikan.
Itulah, hendak ditegur tidak boleh sebab manifesto bukan kitab suci.
Macam mana nak nafikan cerita komplot apabila berduyun-duyun kemasukan Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu disambut mesra yang mana hari ini terbukti tiada seorang pun setia dengan PH.
Dalam keadaan PH diserang teruk dengan sentimen agama dan perkauman, bukan hendak diredakan tetapi ditambahnya perpecahan seperti melalui Kongres Maruah Melayu.
PH sewajarnya bergerak melangkaui sentimen dan pencaturan politik sedemikian.
Jangan kita lupa kepada sifat dan jati diri yang berpegang kepada prinsip saling hormat-menghormati walaupun berlainan bangsa, agama atau budaya.
Tak perlulah diceritakan satu per satu, cukuplah sekadar peringatan.
Buatlah penjanjian atau mekanisme macam mana sekali pun, bila asyik mungkiri (langgar janji) memang susah hendak dipercayai lagi.
Kekalkanlah mempertahankan prinsip dan kebenaran, malah ini juga demi kebaikan bersama, demi Malaysia.
Pendirian saya dan AMK, kami tidak akan menyokong kerosakan yang sama buat sekian kalinya.
Saya secara peribadi lebih rela kita kembali kepada asas perjuangan, santuni aspirasi orang muda dan kekal fokus kepada isu-isu rakyat walaupun mengambil sedikit masa.
Insyallah, PH tetap akan memimpin negara.
*AKMAL NASIR*
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia