PETALING JAYA: Siasatan penjejakan wang membabitkan baki RM260 juta yang disyaki dibelanjakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk kempen politiknya, mungkin membawa kepada satu lagi akaun parti politik akan dibekukan.
Laporan yang dipetik dari Utusan Malaysia, tindakan pembekuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu bagaimanapun bergantung kepada aliran wang berkenaan digunakan.
Menurut laporan itu, kesemua wang bernilai lebih RM300 juta disyaki diterima parti itu daripada lebih 11 kontraktor yang diberikan projek secara runding terus ketika tempoh pemerintahan Perikatan Nasional (PN).
“Kontraktor-kontraktor berkenaan disyaki akan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun parti itu selepas projek berkenaan diperoleh. Jadi siasatan SPRM melihat dari pelbagai sudut yang ada bagi mengesan money trail dana membabitkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang disyaki diterima oleh parti itu,” kata laporan tersebut.
Pada masa yang sama, SPRM juga dipercayai telah memanggil bendahari sebuah parti politik kelmarin untuk membantu siasatan untuk mengambil keterangan bagi menjelaskan transaksi kewangan membabitkan akaun Bersatu.
Berita Tular ada menyiarkan artikel, baki RM260 juta daripada lebih RM300 juta dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang disyaki diterima Bersatu telah dibelanjakan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum ini.
Menjejaki RM260juta yang disyaki diterima Bersatu & pengundi yang diberi wang di Terengganu
Siasatan SPRM dipercayai difokuskan dalam pelbagai sudut untuk mengesan jejak kewangan bagi tujuan mengetahui punca dan aliran wang yang telah dibelanjakan termasuk kemungkinan diberikan kepada pemimpin parti-parti komponen di bawah PN dan pelbagai kegunaan lain.
Dua akaun bernilai RM40 juta milik Bersatu mungkin akan dibekukan dalam tempoh tiga bulan sehingga setahun bergantung kepada hasil siasatan SPRM. Setakat ini, akaun itu telah dibekukan sejak dua hingga tiga minggu lalu.
Pembekuan dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.