KUALA LUMPUR, 23 Jan — Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini berkata sudah tiba masanya bekas perdana menteri dua kali Tun Dr Mahathir Mohamad berhenti membuat kenyataan yang tidak baik terhadap kestabilan negara, bersesuaian dengan peringkat usianya.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan Madani berkata, Tun Mahathir telah tewas di Parlimen Langkawi pasa pilihanraya yang lalu dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menang di Parlimen Tambun, tidak timbul soal Perdana Menteri bukan pilihan rakyat.
Semalam Tun Dr Mahathir mencabar Perdana Menteri supaya mengadakan pilihan raya umum semula tahun ini bagi membuktikan bahawa kali ini Anwar mendapat sokongan pengundi.
Sementara itu, dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan sebarang siasatan yang berkaitan dengan agensi itu. “Kami tidak masuk campur. Perdana menteri sentiasa berkata bahawa beliau tidak memberi sebarang arahan kepada SPRM untuk mengambil sebarang tindakan.
“Oleh itu, ia bergantung kepada SPRM mengambil sebarang tindakan berdasarkan peraturan,” katanya.
Pagi tadi, isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan gagal mengisytihar harta kepada SPRM.