PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menggunakan sistem undian elektronik (EVS – electronic voting system) dalam mengurangkan kos pengundian.
Dipetik daripada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, usaha itu memerlukan perbincangan serius antara kerajaan dan SPR untuk diaplikasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurutnya, kerajaan boleh mengguna pakai model pengurusan pilihan raya seperti diamalkan di India yang menggunakan EVM iaitu tidak lagi memangkah kertas undi yang memakan belanja wang berbilion ringgit.
Katanya, kaedah itu dapat mengurangkan penggunaan sumber manusia yang ramai setiap kali mengendalikan pilihan raya sama ada PRU atau Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan separuh kos perbelanjaan adalah bertujuan membayar elaun petugas pilihan raya.
“India mengguna pakai EVM sejak 10 tahun lalu, tetapi negara itu tidak ada masalah dalam mengendalikan pilihan raya walaupun jumlah pemilih terlibat seramai 800 juta, hampir 1 bilion.
“Kalau sistem ini tidak praktikal, sudah tentu berlaku bantahan terhadap sistem demokrasi India yang lebih kompleks dengan parti-parti politik lebih berpengalaman, kalau kaedah ini dipertikaikan sudah tentu Parlimen negara itu tidak meluluskan.
“Sedangkan Malaysia masih di takuk lama mengguna kaedah konvensional tidak berubah 20 tahun lalu dengan celup dakwat, pangkah kertas undi sebelum masuk dalam tong undi. Setiap ini ada petugas mengendalikannya yang mana ia boleh diubah,” katanya di sini baru-baru ini.
SPR memerlukan kos perbelanjaan bagi menjalankan PRU15 sebanyak RM1.01 bilion manakala bagi menguruskan pilihan raya negeri (PRN) melibatkan enam negeri adalah sebanyak RM420 juta.
(Tenaga manusia SPR sahaja menelan separuh kos pilihanraya. Foto Kosmo)
Negara berdepan PRK pertama selepas PRU15 iaitu PRK Kuala Terengganu yang diadakan serentak dengan PRN, namun SPR memerlukan kos tambahan sehingga RM465,000.
Satu lagi PRK bakal diadakan bagi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang akan ditentukan SPR pada Khamis depan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang dijangka menelan kos sehingga RM500,000.
Wan Ahmad berkata, dalam senario politik negara ketika ini, pelbagai perkara boleh berlaku mengakibatkan kekosongan kerusi yang membawa kepada pilihan raya seperti kekosongan kerusi luar jangka seperti kematian termasuk isu wakil rakyat lompat parti atau hilang jawatan.
Katanya, situasi itu memerlukan pilihan raya diadakan bagi memenuhi proses demokrasi untuk mengisi kekosongan DUN dan Dewan Rakyat memandangkan sistem kerajaan berlandaskan kuasa rakyat untuk membuat keputusan memilih wakil rakyat di peti undi.
Beliau menjelaskan, kos untuk menguruskan pilihan raya bertambah tahun demi tahun dan perlu cari jalan untuk mengurangkan kos kerana negara dan rakyat tidak boleh lagi dibebankan kos terlalu tinggi.