MAJLIS Peguam pada 3 April lalu menerusi siaran akhbar yang diterbitkan dalam laman webnya bertajuk Keputusan Mahkamah Perlu Dihormati oleh Semua Pihak menyatakan bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas seorang Hakim Mahkamah Tinggi adalah di luar bidang kecekapan atau pemahaman suruhanjaya tersebut.
Begitu juga dengan NGO Bersih, mereka juga menentang sebarang usaha ‘bicara semula’ kes SRC Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mereka juga menyatakan, “Majlis Peguam berpandangan bahawa badan yang sesuai untuk menyiasat dan memutuskan kelakuan etika hakim terletak pada Jawatankuasa Etika Kehakiman yang ditubuhkan di bawah Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010. SPRM tidak mempunyai peranan untuk melaksanakan tugasan tersebut.”
Pada pandangan saya, kenyataan Majlis Peguam dan beberapa pihak lain tidak sepenuhnya betul terutama apabila membuat penegasan bahawa SPRM tidak mempunyai kuasa atau kecekapan untuk menyiasat Hakim Mahkamah Tinggi. SPRM diwujudkan sebagai satu entiti untuk memerangi rasuah di negara ini.
Ia diberi kuasa oleh Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 untuk menyiasat sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa. Tiada agensi atau badan lain yang mempunyai kuasa lebih tinggi dan tidak mempunyai kecekapan untuk menyiasat kesalahan jenayah rasuah.
Apabila SPRM menerima laporan atau aduan mengenai dakwaan rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan, suruhanjaya tersebut bertanggungjawab untuk menyiasat. Apabila disiasat, jika menemukan bukti dan fakta untuk menyokong unsur rasuah atau salah guna kuasa, SPRM kemudian akan merujuk kertas siasatannya kepada Peguam Negara.
Selain itu, berdasarkan fakta siasatannya, dalam kes tertentu SPRM juga boleh merujuk kes untuk tindakan tatatertib mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 17 Tahun 1975 dan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5. Tahun 1997 dengan persetujuan Pendakwa Raya.
Berhubung kes melibatkan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada 6 April lalu mengesahkan satu laporan telah dihantar kepada Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan dan dalam laporan tersebut dinyatakan terdapat pelanggaran Kod Etika Hakim.
TRIBUNAL
Sebelum ini, SPRM merujuk kertas siasatannya kepada Ketua Hakim Negara seperti dimaklumkan di Parlimen oleh Azalina pada 23 Februari lalu yang telah dilakukan atas persetujuan Peguam Negara. Maka, fungsi SPRM berakhir di sini.
Kes itu kini tertakluk kepada pertimbangan dan budi bicara Ketua Hakim Negara sama ada untuk memulakan sebarang tindakan seperti digariskan di bawah Fasal 3 Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan penubuhan tribunal bagi meneliti sebarang pelanggaran peruntukan kanun etika berkenaan hakim. Hak di bawah perlembagaan dan kuasa SPRM untuk menyiasat sebarang bentuk rasuah yang disyaki dan salah guna kuasa hakim mahkamah atasan sebenarnya telah dijelaskan dan diperakui dalam kes Haris Fathillah bin Mohamed Ibrahim & Anor. lwn. Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam bin Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia (No. rujukan awam: 06(RS)-4-07/2022(W) pada 24 Februari 2023)
Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat walaupun telah menyatakan bahawa satu set protokol sepatutnya dipatuhi apabila menyiasat hakim mahkamah atasan, bagaimanapun ditegaskan, “Hakim Mahkamah Tinggi yang berkhidmat tidak terlepas daripada siasatan jenayah atau pendakwaan. Mereka tidak perlu digantung atau dibuang sebelum mereka boleh disiasat atau didakwa.”
Penghakiman selanjutnya menyatakan bahawa walaupun hakim dianggap sebagai warganegara yang mempunyai moral tertinggi, “Oleh itu mereka tidak boleh sedikit pun tercela, kerana jika mereka melakukan jenayah, mereka perlu lebih bertanggungjawab untuk menjawabnya.”
Oleh itu, adalah tidak benar jika badan peguam Malaysia menyatakan bahawa SPRM sebagai badan penguat kuasa tidak kompeten atau tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat bekas Hakim Mahkamah Tinggi.
Selain itu, perlu juga diambil perhatian bahawa tanpa kecekapan SPRM dalam menyiasat kes SRC International, kes tersebut tidak akan dapat bertahan dalam perbicaraan di mahkamah, lebih-lebih lagi mendapat sabitan yang kukuh serta melepasi beberapa peringkat rayuan oleh defendan.
Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa tiada sesiapa atau pihak yang berhak dikecualikan daripada penyiasatan oleh penguat kuasa undang-undang sama ada anggota pentadbiran, badan perundangan atau badan kehakiman.
Datuk Ahmad Rosli Mohd. Sham ialah Pengerusi Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Pengajar Khas di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); dan bekas Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara.
Pendapat ini turut disiarkan di Utusan Malaysia