BUANG ego dan sentiasa berbincang. Demikian nasihat bekas pemain negara, Koo Kien Keat kepada gandingan baharu dibentuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM), iaitu Goh V Shem- Teo Ee Yi manakala Tan Wee Kiong-Ong Yew Sin.
Sebelum ini, V Shem bergandingan dengan Wee Kiong, namun dipisahkan berikutan penurunan prestasi.
Menurut naib juara Kejohanan Dunia 2010 itu, kedua-dua pasangan beregu itu juga harus memperbaiki persefahaman andai tidak mahu perubahan pasangan terus berlaku.
“Apa yang penting untuk bermain beregu jangan pentingkan diri sendiri dan jangan anggap kita bagus.
“Sama ada kita senior mahupun junior, kita ketepikan ego itu dan sentiasa sokong antara satu sama lain.
“Bagi saya masalah beregu ini seperti masalah dengan kekasih, jadi untuk kekal kedua-duanya harus memahami, dan toleransi,” katanya selepas majlis menandatangani Perjanjian antara Badminton Asia, Seri Mutiara Development Sdn Bhd dan E-Plus Global Sdn Bhd di Hard Rock Kafe.
Katanya, bagi memantapkan gandingan mereka juga harus bijak menyelesaikan masalah.
“Mereka perlu tanya kepada diri sendiri adakah sasaran dan hala tuju kita masih sama,” ujarnya.
Pada majlis itu, Kien Keat turut dilantik sebagai Pengarah baharu Prestasi Tinggi Badminton Asia.