Walaupun pesta makanan dan minuman Jerman (Oktoberfest) diadakan setiap tahun di Johor, tetapi ia tidak dibuat besar-besaran dan secara tertutup, kata menteri besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Justeru beliau meminta agar semua pihak tidak memperbesar-besarkan isu penganjuran acara itu di Johor.
“Benda ini sudah lama dibuat dan tidak diwar-warkan atau dihebahkan. Program itu buat di lokasi tertutup sahaja dan bukan seperti di sesetengah negeri yang buat dengan menjemput orang ramai, secara terbuka.
“Jadi kita tidak perlu membesar-besarkan perkara itu,” katanya menurut laporan Sinar Harian semalam.
Terdahulu, poster tentang acara yang melibatkan minuman keras itu yang dijadual diadakan pada 13 dan 14 Oktober ini di sebuah hotel di Johor Bahru tular di media sosial.
Penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman di Klang kini menjadi tanda tanya walaupun dilaporkan sudah mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK), ekoran bantahan yang disuarakan beberapa pihak.
Sebuah lagi pesta melibatkan minuman keras, Better Beer Festival yang sudah dianjurkan sejak lima tahun lalu menjadi perdebatan, dengan pelbagai pihak sama ada menyokong atau membantah penganjuran pada tahun ini.
Permitnya kemudian ditarik balik, namun pihak berkuasa berkata keputusan itu atas faktor keselamatan.