Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad petang tadi memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar pelantikan dan pelanjutan tempoh perkhidmatan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.
Selain Zulkefli, Mahathir menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan sebagai responden dalam permohonan itu.
Hakim Zulkefli dijadualkan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif sebagai hakim tambahan dan presiden mahkamah rayuan pagi esok.
Mahathir juga memfailkan satu lagi semakan pada bulan Ogos lalu untuk mencabar pelantikan semula Md Raus sebagai ketua hakim negara selepas melewati umur persaraan mandotori iaitu 66 tahun dan enam bulan.
Kes ke atas Md Raus telah ditetapkan pada 24 Oktober depan.