LEICESTER: Jurgen Klopp menegaskan Liverpool terus mempamer peningkatan di sebalik tekanan yang diterima, susulan gagal meraih kemenangan dalam empat perlawanan sebelum membenam Leicester City 3-2, awal pagi tadi.
Skuad bimbingan Klopp dikritik teruk terutama di bahagian pertahanan dan serangan selepas sering gagal menyempurnakan peluang, selain bergelut untuk menghalang gawang mereka daripada dibolosi.
Gol daripada Mohamed Salah, Philippe Coutinho dan Jordan Henderson di Stadium King Power menyelesaikan satu daripada masalah berkenaan, tetapi gawang The Reds tetap bocor sekalipun pada satu ketika mendahului 2-0.
Kapten Liverpool, Jordan Henderson (kiri) meraikan gol kemenangan bersama Philippe Coutinho. – Foto Reuters
Shinji Okazaki dan Jamie Vardy membuatkan The Reds berisiko mengutip satu mata namun prestasi baik penjaga gol, Simon Mignolet yang menyelamatkan sepakan penalti Vardy membolehkan pelawat pulang dengan tiga mata.
“Saya rasa kami layak untuk menang. Ia hari yang baik. Saya gembira dengan bagaimana kami bertarung untuk mendapatkan keputusan,” kata Klopp.
“Ia patut menjadikannya lebih jelas, namun selepas beberapa perlawanan tanpa kemenangan kamu perlu kembali bangkit.
“Kami rasa berada dalam keadaan yang amat baik, namun kami perlu menunjukkannya dengan keputusan supaya semua orang dapat melihatnya.
“Anda dapat melihat kami mendahului 2-0 dan ia agak berbeza tetapi kami mahu menanganinya, namun terlalu awal untuk mengatakan kami berada di tempat yang salah.
“Saya tahu mengenai tekanan dan saya sebenarnya sentiasa berdepan tekanan, sepanjang hidup saya bagi pelbagai alasan. Tekanan, apabila ia tekanan yang baik, ia sentiasa membantu.
“Kami mahu berjaya dan inilah kualiti yang kami miliki untuk bertindak balas selepas berada dalam tekanan. Selepas beberapa perlawanan tanpa keputusan yang sepatutnya, kami perlu bangkit dan itulah yang kami lakukan.” – AFP