Pertemuan antara perdana menteri Malaysia dengan Presiden Donald Trump memang memalukan ramai, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi Datuk Seri Najib Razak tidak berasa begitu.
“Najib tidak rasa malu. Dia senyum saja,” katanya.
Sepanjang pertemuan itu juga, kata Dr Mahathir, tiada dibincangkan tentang 1MDB yang menjadi isu di antara Washington dan Putrajaya.
Apa yang ada, katanya, ialah perbincangan mengenai pelaburan Malaysia untuk meningkatkan ekonomi AS menggunakan duit rakyat negara ini.
“Ia adalah (wang) yang digunakan untuk membeli sokongan kepada Najib,” katanya.
Bekas perdana menteri yang kini menjadi pengerusi pakatan pembangkang itu ditemui Malaysiakini di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.
Perdana menteri mengadakan pertemuan dan Trump di Rumah Putih semalam dan menyatakan kesediaan Putrajaya membantu mengukuhkan ekonomi AS.
Antara langkah yang diambil untuk tujuan itu ialah membeli lebih banyak pesawat udara Boeing dari AS, selain pelaburan bernilai antara AS$3 bilion hingga AS$4 bilion oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membantu membangunkan kemudahan infrastruktur negara berkenaan.
BELUM DIBERSIHKAN LAGI
Sambil ketawa Dr Mahathir berkata ia adalah kali pertama dalam sejarah sebuah negara dunia ketiga memberi sokongan untuk mengukuhkan negara terkaya di dunia.
Menganggap langkah itu sebagai “pelaburan yang salah” Dr Mahathir turut berkata melalui langkah berkenaan sebenarnya Najib mengambil “duit kita” untuk diberi kepada Trump.
“AS ada cukup wang. Kalau tak cukup mereka boleh meningkatkan bekalan wang melalui kaedah quantitative easing, dia boleh cetak duit,” katanya merujuk kepada dasar bank pusat membeli sekuriti dari pasaran untuk merendahkan kadar faedah dan meningkatkan bekalan wang.
Menurut Dr Mahathir, apa yang dilakukan Najib itu dibuat kerana perdana menteri mengamalkan prinsip “cash is king”.
“Siapa juga, kalau nak sokongan mereka, beri duit,” katanya.
Beliau juga yakin pertemuan Najib dan Trump tidak akan mengubah tanggapan pengundi di negara ini, termasuk di kalangan peneroka Felda.
“Trump ini tak ada orang yang pandang tinggi pada dia. Dia seorang pemimpin yang teruk dan selalu cenderung untuk berbaik-baik dengan orang yang lebih kurang sama dengan dia, iaitu (pemimpin) yang tidak berprinsip.
“Lainlah kalau Najib jumpa Barack Obama kita rasa khuatir sebab Obama ini – dan Clinton – dipandang tinggi,” katanya.
Mengenai persepsi orang ramai bahawa Najib tidak bersalah seperti dipercayai sesetengah pihak berhubung saman Jabatan Keadilan AS berkaitan 1MDB, Dr Mahathir berkata, tiada ‘pembersihan’ ke atas perdana menteri dengan lawatan berkenaan.
Menurut Dr Mahathir, pengundi Felda tahu lawatan Najib itu gagal menjadi seperti yang yang dirancang.
“Saya tidak fikir pengundi Felda tidak boleh memahami ia bukan suatu kejayaan Najib, dan dia sudah dibersihkan (daripada sebarang skandal 1MDB). Tidak,” katanya.