SUBANG JAYA – Kejayaan pasar raya Mydin hari ini bukan diraih dengan mudah, sebaliknya dalam tempoh 20 tahun ini, banyak liku ranjau perlu ditempuhi.
Apatah lagi empayar Mydin adalah bisnes keluarga. Jika silap percaturan, sudah pasti ia tidak dapat bertahan lama.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin membuktikan Mydin berbeza dengan pasar raya lain.
Kesemua empat adik-beradik lelakinya bersama-sama meneruskan legasi ditinggalkan bapa mereka, Allahyarham Mydin Mohamed Ghulam Hussein itu.
Dari hanya sebuah kedai runcit, ia mengorak langkah sebagai pasar raya, kemudian berubah kepada gedung lebih besar dan kini, Mydin sudah mempunyai 322 cawangan di seluruh negara.
Ameer Ali berkata, biarpun Mydin merupakan bisnes keluarga, namun tanggungjawab diberikan kepada setiap adik-beradiknya membuatkan masing-masing tahu kerja sendiri dan paling penting tidak pernah menyalahgunakan jawatan mereka sebagai ‘big boss’.
“Kita bos, tapi kita tak boleh nak berlagak macam bos, kita juga sebenarnya sama-sama pekerja. Makan gaji. Sama macam pekerja yang lain.
“Kalau kita nak berlagak macam bos, masuk jam 11 pagi dan balik jam 3 petang, susahlah. Lagi pula, tiada siapa yang (berani) nak tegur silap kita, sebab apa… kita kan bos,” katanya.
Bercakap di hadapan adik beradiknya yang juga merupakan orang penting dalam struktur pentadbiran Mydin, Ameer Ali berkata, toleransi diamalkan mereka merupakan tunggak kejayaan hari ini.
“Walaupun dalam syarikat kedudukan kita semua tinggi, tidak bermakna kita boleh buat sesuka hati. Kalau nak pekerja hormat pada kita, sudah pasti kita harus menghormati dan memahami tugasan kita.
“Kenapa dalam empat adik-beradik saya ni, hanya saya yang selalu bercakap, mereka tidak? Bercakap kepada orang ramai dan media adalah skop kerja saya. Bukan makna saya ni nak berlebih-lebih pula, kami semua ada tugasan sendiri dan kami menghormatinya,” katanya.
Menurutnya, keempat-empat mereka sudah dididik untuk menjadi ketua yang bagus dan mengikut kerja ditetapkan.
“Kita semua masuk (kerja) pagi, minta cuti, (perlu) isi borang. Saya pun isi borang, abang atau adik yang luluskan. (Bolehkah) saya nak kata NO. Pandai-pandai dia la,kan. Semua orang ada cuti sendiri.
“Sebagai bos, kita kena jadi contoh. Kita sendiri ada grup WhatsApp. Kena maklumkan pergerakan kita, bukan nak sibuk, cuma perlu tahu, supaya senang,” katanya.
Selain Ameer Ali, tiga lagi adik beradiknya yang bersama-sama mengusahakan Mydin adalah abangnya, Datuk Murad Ali, Ahimmat dan Salim.
Sebagai ‘tauke’ sudah pasti, setiap produk dijual, boleh diambil tanpa membayarnya, namun, itu bukanlah amalan Ameer Ali dan adik-beradiknya.
Sepanjang mengusahakan Mydin, beliau tidak pernah mengambil kesempatan dengan mengambil aoa-apa barang secara percuma.
“Nak apa-apa barang pun kita kena beli, sama dengan harga pekerja. Walaupun saya tahu harga asal.
“Contoh, harga asal barang tu cuma RM10, harga pekerja RM12, dan kita jual RM15. Tapi, saya tak ada ambil sahaja atau bayar RM10, sebaliknya kami bayar pada harga pekerja. Itu penting,” jelasnya.
Beliau berkata, jika perkara itu tidak menjadi amalan mereka, mungkin perniagaan Mydin sukar untuk bertahan lama.
“Untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan pada masa sama, perniagaan turut menjadi keutamaan, kami semua sentiasa menyokong antara satu sama lain.
“Nak pastikan tidak pecah belah walaupun semua bekerja satu tempat, semua ada tanggungjawab berlainan. Masing-masing ada pendapat. Pendapat ni, tak ada betul atau salah. Ia hanya pendapat. Kita semua sama. Ego kita tolak tepi,” katanya.
Empayar Mydin kini diuruskan oleh generasi kelima.