Walaupun protes kenaikan harga minyak oleh Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini dibatalkan di ibu kota, ia tetap diteruskan di Kota Bharu, Kelantan, petang tadi.
Diketuai Ketua Pemuda AMANAH kelantan Hazmi Hassan, kira-kira 30 peserta berkumpul di Persimpangan Telipot dan mempamerkan plakad kepada pengguna jalan raya di sana.
Protes itu disambut baik sebahagian pengguna jalan raya yang ‘menghadiahkan’ hon ketika melalui lokasi flash mob berlangsung.
“Terima kasih, terima kasih kerajaan BN,” mereka menyanyi secara spontan.
Protes tersebut bermula pada pukul 6.30 petang selama satu setengah jam, dengan diawasi kira-kira 30 anggota polis.
Hazmi ketika ditemui berkata, protes tersebut untuk menunjukkan betapa tindakan kerajaan menaikkan harga minyak selama 10 minggu berturut-turut tidak wajar sama sekali.
Katanya, protes itu juga untuk mendesak kerajaan agar mengkaji semula kenaikan yang dibuat apatah lagi di saat harga minyak global sedang menurun.
“Protes hari ini menyaksikan ramai pengguna motosikal dan kereta memberi respon yang baik.
“Siapa yang tak hon dia sokong minyak naik, sokong BN,” katanya kepada Malaysiakini.
Harga runcit RON95 dan RON97 untuk minggu ini naik 4 sen kepada RM2.20 seliter dan RM2.48 seliter, manakala diesel naik 1 sen kepada RM2.05. Ia kenaikan untuk minggu kesepuluh sejak 6 Julai lalu.
Pemuda Wilayah mohon maaf
Kata Hazmi lagi, mereka juga mahu meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kenaikan harga minyak setiap minggu dan betapa Pakatan Harapan (HARAPAN) mempunyai mekanisme untuk menangani isu itu.
“Maka masanya semakin hampir untuk rakyat menyokong dan memberi kepercayaan kepada HARAPAN pada pilihan raya umum akan datang,” katanya lagi.
Protes dijalankan serentak di seluruh negara, namun ia dibatalkan di peringkat Wilayah Persekutuan kerana masalah teknikal.
sejumlah enam wartawan menunggu kira-kira 20 minit di lokasi protes berhampiran stesen LRT Masjid Jamek, sebelum dimaklumkan berhubung pembatalan itu.
Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan memohon maaf kepada media dan mereka yang telah hadir, dan “mengambil tanggungjawab sepenuhnya” pembatalan itu.
“Flashmob di tempat-tempat lain anjuran Pemuda AMANAH negeri-negeri berjalan seperti yang dijadualkan,” katanya.
Menerusi rakaman di laman Facebook Pemuda AMANAH Perak, kira-kira 20 peserta dilihat memegang plakad yang antaranya tertulis “Turunkan harga minyak” dan “Apa lagi rakyat terpaksa tanggung?”.
Protes di Bayan Baru Pulau Pinang pula dibatalkan ekoran kemangkatan Sultan kedah Sultan Abdul Halim Mu’Adzam Shah, menurut pengumuman di laman Facebook Pemuda AMANAH negeri itu.
Selain itu, protes serupa turut dijadualkan berlangsung di Shah Alam, Melaka Central, Seremban, Kuala Terengganu, Pantai Sepat (berhampiran Kuantan), Batu Pahat, Tampoi, and Sandakan.