Beberapa jam selepas kemangkatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, cucunda Sultan Kedah Raja Sarina Iskandar menulis belasungkawa penuh perasaan terhadap almarhum nendanya, berkongsi kisah peribadi yang barangkali tidak diketahui rakyat.
Menerusi laman instagram, beliau menceritakan betapa almarhum menjadi inspirasinya, terutama selepas melihat disiplin almarhum dalam melaksanakan tanggungjawab besar yang digalas.
“Saya melihat Tok sehingga tidak makan kerana mahu berlatih berucap atau duduk di pejabat. Siapa yang berusia 80-an yang akan berbuat demikian? Kebanyakan kita mahu bersara pada usia 50 tahun jika boleh.
“Ada masanya, ramai yang tidak tahu, Tok tidak sihat tetapi tetap meneruskan tugas sebagai Agong dan Sultan,” katanya.
Ketika itu, katanya lagi, almarhum akan berulang-alik antara majlis rasmi yang perlu dihadiri dan hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Saya akan lihat Tok di TV kelihatan normal ketika bersalaman dengan perdana menteri, menteri dan rakyat. Namun sebaik sahaja acara tamat, Tok akan kembali ke wad hospital dengan tiub di tubuh. Di saat Tok paling gering pun, Tok akan tepati masa. Tok tidak akan buat sesiapa menunggu,” katanya.
Tulisan itu diiringi gambar hitam putih almarhum mencium pipinya. Setakat tengah malam ini, ia sudah menerima lebih 20,000 ‘like’ dan kira-kira 1,400 komen.
Raja Sarina yang turut tinggal di Istana Negara di saat almarhum menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 2011 berkata, almarhum bukanlah seorang sultan yang hanya “hanya duduk di takhta dan menikmati kekayaan”.
“Inilah sisi seorang raja yang tiada siapa tahu…Status Tok adalah amanah Allah. Rakyat sukar memberi kemaafan jika pemimpin membuat kesilapan dan Tok sentiasa memastikan dirinya membuat yang terbaik.
“Apabila saya memberitahunya tentang ada blog dan individu yang menghinanya, Tok tidak pernah marah. Tok sentiasa tenang dan hanya berkata ‘Tok sudah buat yang terbaik’,” katanya lagi.
Sultan Abdul Halim mangkat pada pukul 2.30 petang tadi di Istana Anak Bukit, Alor Setar, ketika berusia 89 tahun.
Jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar, empat petang ini.