TIDAK masuk akal langsung apabila setiap kali jualan syarikat tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, kesalahan terus ditujukan khas kepada pasukan pemasaran digital atau pasukan pemasaran semata-mata.
Memang tidak dinafikan, pemasaran memainkan peranan teramat penting bagi memastikan bukan sahaja jualan tetapi keseluruhan operasi syarikat berjalan lancar, tetapi tidak wajar sama sekali sekiranya jari terus dihala kepada pasukan pemasaran sahaja.
Dalam permainan bola sepak, para pemain di bahagian tengah atau midfielder amat penting untuk menentukan corak permainan keseluruhan. Mereka adalah penggerak utama yang memastikan peluang penting diberikan kepada pemain penyeÂrang untuk menjaringkan gol.
Mereka juga bertanggungjawab menjadi benteng pertahanan pertama sekiranya pihak lawan menyerang. Pemain di bahagian tengah ini juga perlu kreatif untuk mencipta peluang ke arah gol lawan dan juga perlu bijak dalam menangkis serangÂan pihak lawan.
Namun, sekiranya pemain-pemain di bahagian lain bermain dengan ala kadar atau tidak berkesan, walau sebaik mana sekalipun prestasi di bahagian tengah, semua strategi tidak akan menjadi. Akhirnya perlawanan pasti akan berkesudahan sama ada seri ataupun kalah.
Konsep yang sama boleh digunapakai untuk pemasaran ataupun pemasaran digital syarikat anda.
Sekiranya pasukan-pasukan lain seperti bahagian produk, pihak pengurusan syarikat, jaÂbatan kewangan, jabatan penghantaran, khidmat pelanggan dan sebagainya tidak memainkan peranan masing-masing dengan baik, tidak membantu di antara satu sama lain, maka sukar sesuatu strategi korporat itu akan mencapai objektif.
Ini termasuklah prestasi jualan produk anda yang pasti akan merudum. Ini sebab-sebab utama mengapa strategi pemasaran digital anda gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.
Tiada penjenamaan.
Strategi korporat yang keseluruhannya dibina oleh pihak pengurusan yang longgar. Logo, slogan, arah tuju dan budaya yang tidak konsisten. Apabila asas sesuatu syarikat ini sendiri longgar, strategi pasukan pemasaran juga akan turut longgar.
Tiada proses dalaman yang berkesan.
Pihak pengurusan juga bersalah sekiranya proses dalaman yang berkaitan semua jabatan tidak lancar. Sekiranya tidak ada kesinambungan di antara satu sama lain, maka semua proses akan terjejas.
Tidak bersedia.
Ada juga syarikat atau jenama yang masih belum bersedia untuk ke pasaran tetapi tidak sabar-sabar mahu ‘bertemu’ pasaran.
Tidak dapat menerima kritikan.
Banyak jenama terutamanya yang baharu, mereka menggunakan khidmat individu-individu berpengaruh di media sosial untuk menularkan jenama mereka. Apabila terdapat pelanggan datang membeli produk mereka tetapi tidak berpuas hati atas pelbagai sebab dan memberikan komen dan kritikan di laman media sosial mereka, jenama ini tidak dapat menerima kritikan dan terus bertindak negatif.
Tiada khidmat pelanggan.
Terdapat juga jenama yang tiada khidmat pelanggan langsung di media sosial. Setiap pertanyaan, soalan dan komen tidak dijawab langsung.
Peruntukan kewangan yang tidak masuk akal untuk pemasaran.
Ini yang paling kelakar. Peruntukan yang terlalu kecil diberikan kepada pasukan pemasaran digital dalam menjalankan tanggungjawab mereka untuk menghasilkan jualan yang besar.
Fokus hanya satu saluran.
Banyak jenama yang hanya berada di Instagram dan tidak di saluran lain dengan harapan jualan besar akan tercapai.
Interaksi ibarat bercakap dengan rakan karib.
Jawapan kepada pertanyaan atau komen yang mempunyai perkataan seperti Dear, Bro, Dude, Kawan, Lu, Gua dan sebagainya yang sering diberikan kepada para pelanggan yang bertanya amat tidak sesuai, tetapi inilah yang biasanya digunakan oleh kebanyakan jenama. Mereka jarang menggunakan istilah yang lebih sesuai seperti Tuan, Puan, Encik dan panggilan yang lebih dihormati.
Gelojoh, tidak sabar menunggu hasil.
Terlalu banyak jenama yang mahukan hasil jualan selepas dua bulan strategi pemasaran digital dilaksanakan. Gelojoh tidak akan mendatangkan apa-apa hasil.
Tiada kepakaran.
Terdapat juga syarikat yang lebih gemar menggunakan khidÂmat pelajar latihan industri atau internship untuk membantu syarikat dalam pemasaran digital. Terlalu mementingkan kos ada padahnya.
Produk atau perkhidmatan yang tiada kualiti.
Tidak banyak jenama yang mahu mengakui walau sebaik mana sekalipun pemasaran digital mereka dilakukan, sekiranya produk dan perkhidmatan yang diberikan itu tiada kualiti maka tiada apa yang boleh dibuat lagi.
Bahasa, ayat dan perkataan yang terlalu pasar.
Bahasa yang terlalu pasar juga tidak digemari pelanggan. Jenama anda akan kelihatan tidak serius dan tidak profesional.