JOHOR BAHRU: Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) yakin sasaran pelaburan sebanyak RM383 bilion menjelang 2025, yang ditetapkan bagi Iskandar Malaysia, akan dapat dicapai sebelum tempoh berkenaan.
Ketua Eksekutif, Datuk Ismail Ibrahim berkata, keyakinan tersebut adalah berdasarkan pembangunan semasa yang pesat di koridor ekonomi itu, sekali gus IRDA berada di landasan betul untuk mencapai sasaran tersebut.
“Setakat ini, kami menetapkan RM382 bilion sebagai sasaran pelaburan sehingga 2025. Bagaimanapun secara realitinya, angka itu mungkin berubah.
“Kami mungkin dapat mencapai RM383 bilion menjelang 2025, dan ia akan menjadi kenyataan jika IRDA terus mempergiatkan usaha membawa masuk pelaburan dan mempromosikan sektor, terutama yang membawa kesan pengganda yang tinggi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh IRDA dengan disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Johor, Datuk Azmi Alias di pejabat IRDA di sini.
Ismail berkata, sejak 2006 hingga Mac 2017, Iskandar Malaysia telah menerima pelaburan keseluruhan bernilai RM227 bilion, dengan China melabur sebanyak RM24 bilion diikuti RM20 bilion oleh Singapura.
Pelaburan dari China merangkumi antaranya dalam sektor hartanah, kesihatan, pendidikan dan pelancongan.
Beliau berkata, memandangkan Iskandar Malaysia terlalu terdedah kepada ketidaktentuan ekonomi global maka ia perlu mula mengurangkan kebergantungan pelaburan dari sebuah negara atau rantau semata-mata.
“Tahun lalu, kita bercakap mengenai ketidaktentuan di Eropah, tahun ini di Amerika Utara, tahun depan pula kemungkinan ketidaktentuan di Asia Pasifik, termasuk China.
“Oleh itu, untuk membolehkan kita tidak terhimpit, maka perlu untuk kita tidak bergantung kepada satu negara sahaja bagi pelaburan Iskandar.
“Fokus kita mesti (membawa masuk pelaburan) dari beberapa negara, beberapa rantau supaya kita tidak terjejas (sekiranya) tiada pelaburan dari negara tertentu,” katanya.
— BERNAMA