Pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) jurusan Astrofizik di Pusat Astronomi Ekstragalaktik, Jabatan Fizik, Universiti Durham, United Kingdom (UK) Nur Adlyka, 27 bercadang pulang ke Malaysia untuk mendidik anak bangsa dalam bidang astronomi.
Saintis muda ini dan kumpulannya berjaya membuktikan kewujudan lohong hitam supermasif yang tersembunyi di lingkaran kosmik semesta.
Adlyka menyatakan hasratnya yang ingin menjadi pensyarah bagi melahirkan lebih ramai saintis dalam bidang berkenaan setelah menamatkan pengajian.
“Ini secara tidak langsung sebagai penghargaan kepada pendidikan negara yang memberi peluang kepada saya sehingga ke tahap kini.. pada asalnya saya memikirkan bidang ini kurang menyediakan prospek pekerjaan di Malaysia, namun di luar negara sangat banyak peluang pekerjaan yang disediakan dalam bidang ini.
“Sehubungan itu, harapan saya apabila menjadi pensyarah di universiti tempatan dalam bidang ini sekaligus menghasilkan lebih ramai pelajar yang terlibat dalam bidang ini dan mencipta lebih ramai tenaga serta dari situ akan lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang ini mampu ditawarkan,” katanya ketika ditemui pada majlis Warasa Supernova yang dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.
Nurul Adlyka merupakan antara sekumpulan pakar astronomi dunia yang berjaya membuktikan kewujudan lohong hitam supermasif di sebuah galaksi yang terletak kira-kira 38 juta tahun cahaya dari bumi.
Wanita itu membentangkan penemuan pasukannya dalam satu kertas kerja bertajuk ”Black Holes, Green Galaxies, Old Stars and NuSTARs” pada perjumpaan Persatuan Astronomi Amerika Syarikat ke-229 awal tahun ini.
Beliau yang bakal menamatkan pengajian PhD antara Ogos dan September ini turut berharap agar kejayaannya memberi inspirasi kepada penyelidik-penyelidik astrofizik dan astronomi di Malaysia untuk membangunkan lagi bidang berkenaan di negara ini agar standing di mata dunia.