TOKYO: Seorang ahli perniagaan berputih mata apabila wang tunai berjumlah 380 juta yen (RM15 juta) yang baru dikeluarkan dari bank dilarikan tiga perompak bertopeng di barat Jepun semalam, kata polis.
Dalam rompakan nekad pada siang hari itu, mangsa berusia 29 tahun berkenaan membawa bagasi mengandungi wang tunai ke tempat letak kenderaan di Fukuoka. Muka mangsa disembur gas pemedih mata oleh penyerang yang melarikan diri dengan sebuah kereta bersama bagasi itu.
Walaupun masyarakat Jepun lebih suka berurusan menggunakan wang tunai, tindakan membawa wang dalam jumlah amat besar seperti itu yang dianggar seberat 38 kilogram, adalah luar biasa.
Jepun memiliki rekod keselamatan cemerlang dan kejadian samun serta jenayah jalanan seperti seluk saku, jarang berlaku. – AFP