Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang ke-2 tetapi ramai dari rakyat Malaysia kini tidak tahu apakah jasa beliau secara khusus terhadap Negara Malaysia. Gelaran sebagai “Bapa Pembangunan” adalah bukti bahawa anak kelahiran Pahang iaitu Abdul Razak bin Hussein telah berjaya mengubah dan mewujudkan sistem yang pintar dan menjadi “transetter” dalam aspek kemajuan ekonomi mahupun sosial rakyat.
Beliau percaya, dalam membentuk perpaduan di Malaysia ketika itu, Pendidikan dan Ekonomi sangat berkait rapat. 1970 adalah tahun permulaan bagi Tun Razak sebagai seorang Perdana Menteri disamping menyahut cabaran bagi membentuk semula Negara Malaysia selepas tragedi 13 Mei 1969 berlaku.
Berikut adalah 7 perkara AWESOME yang telah dilakukan oleh Tun Razak.
1. PENYATA RAZAK
Masalah buta huruf dikalangan orang dewasa sangat kritikal dan kanak kanak majoritinya tidak mendapat pendidikan yang baik. Penyata Razak menjadi pemula kepada penstrukturan sistem pendidikan di negara kita. Dalam tempoh 10 tahun, 3000 sekolah telah dibangunkan di seluruh negara dan 3 juta orang dewasa sudah boleh menulis serta membaca. Pendidikan menjadi perkara penting kerana sekiranya hanya kekayaan dimiliki tanpa mempunyai pendidkan yang formal, ekonomi tidak akan berkembang dan jurang ekonomi tidak dapat dirapatkan. Asasnya adalah pendidikan.
Penyata Razak telah mengemukakan dua elemen penting dalam dasar pendidikan, iaitu sistem persekolahan yang sama untuk semua dan penyeragaman kurikulum yang bercorak kebangsaan. Beliau menganggap bahawa dasar tersebut mampu menyuburkan semangat perpaduan negara. Penyata Razak kemudiannya dijadikan Ordinan Pelajaran 1957.
Tanpa Penyata Razak, taktahu la sekarang ni berapa juta lagi orang dewasa yang buta huruf. Buta hati jangan dikira!
2.DASAR EKONOMI BARU
Perkara yang turut dititik beratkan oleh Tun Razak adalah jurang ekonomi yang begitu ketara hasil daripada Dasar Pecah dan Perintah tinggalan penjajah British. Dasar ini menyebabkan bangsa cina jauh meninggal kan bangsa bangsa lain dan akhirnya isu kemiskinan menjadi isu yang terlalu sensitif apabila disentuh.
Demi merapat kan jurang ini, Dasar Ekonomi Baru menjadi usulan Tun Razak dan ia bersifat serampang dua mata. Disamping merapatkan jurang ekonomi antara kaum, dasar ini turut menyatukan perpaduan sesama bangsa. Dasar ini turut digelar sebagai “Positive Discrimination”, dimana fokus memperkasakan ekonomi bangsa melayu menjadi objektif utama dan target pemegangan ekuiti negara oleh bangsa melayu disasarkan sebanyak 30% menjelang 1990.
Ramai orang melayu yang kaya dan berjaya harini tidak pernah pulak berterima kasih kepada Tun Razak. Sayang seribu kali sayang.
3. RUKUN NEGARA
Antara usaha lain Tun Razak dalam cuba mewujudkan perpaduan bangsa, ROH Perpaduan Bangsa itu sendiri telah dipasakkan dibawah satu prinsip dan prinsip ini sehingga kini menjadi bacaan dan pegangan seluruh rakyat Malaysia. Ia adalah 5 Prinsip Rukun Negara.
Ayuh Karaoke Bersama!
Kepercayaan Kepada Tuhan
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Keluhuruan Perlembagaan
Kedaulatan Undang Undang
Kesopanan dan Kesusilaan.
Sekiranya di amati, dihayati dan dipegangi setiap bait prinsip rukun negara ini, sudah pastinya masalah keamanan negara kita dapat dijaga sampai bila-bila. Ini yang menjadi harapan Tun Razak apabila beliau melancarkan Rukun Negara tersebut setahun selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969 berlaku.
Perlancaran Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 mendukung satu matlamat, iaitu demi memastikan kesejahteraan pelbagai kaum dan keamanan boleh dikecapai. Rakyat Malaysia terdiri daripada 3 kaum utama dan 64 etnik, masing masing mempunyai kepercayaan dan budaya tersendiri. Rukun Negara menjadi paksi kepada semua rakyat Malaysia supaya sentiasa menjaga keharmonian dan tidak melangkaui batas batas sensitif diantara satu sama lain.
Selama 47 tahun Prinsip Rukun Negara ini di kekalkan dalam setiap pemerintahan membuktikan ia menjadi antara mekanisma dalam menerap perpaduan dan menyatukan pelbagai budaya walau pun tidak dinafikan kadang-kala api kemarahan antara kaum masih wujud.
4. FELDA dan FELCRA
Di era pemerintahan Tun Abdul Razak sungguh singkat. Tetapi pelbagai agensi yang kekal sehingga ini membuktikan usaha beliau membuahkan hasil dan memenuhi objektif iaitu mengukuhkan ekonomi rakyat Malaysia.
Sekiranya kita pernah mendengar FELDA dan FELCRA, ini antara perkara yang diilhamkan serta diperkasakan oleh Tun Razak sendiri. Bagi memenuhi tuntutan rakyat dalam memiliki tanah sendiri, Projek Penerokaan tanah oleh kerajaan dijalankan dibawah FELDA dan FELCRA. 800 000 hektar tanah sudah berjaya diteroka dan agenda membasmi kemiskinan sudah semestinya berjaya diatasi oleh Tun Razak melalui projek ini.
5. SUKARELAWAN MALAYSIA (RELA)
Pasukan berbaju celoreng hijau kuning dan bertugas di kebanyakkan majlis majlis keraian itulah anggota RELA yang diasaskan oleh Tun Razak sendiri. Pada asalnya RELA ini berfungsi untuk melawan komunis.
Untuk pengetahuan semua, bermula tahun 2008, Anggota RELA ini telah diberikan kuasa untuk menahan, membuat pemeriksaan dan menangkap pendatang asing tanpa izin. Sekirannya berlaku peperangan, anggota RELA ini akan bertugas bersama askar wataniah. Kekuatan Aggota RELA terkini adalah 2.8 Juta orang.
Ingat, nak jadi Anggota RELA ni bukan sekadar pandai menjaga trafik ketika kenduri sahaja, pergi perang pun kena berani bang!
6. MAJLIS AMANAH RAKYAT (MARA)
Kehebatan MARA dalam membantu ekonomi rakyat terutama nya bangsa melayu tidak dapat dinafikan lagi.
Bermula dari pemberian biasiswa dan pinjaman kepada pelajar, sehingga lah memberikan dana dan pinjaman kepada peniaga, semua yang MARA lakukan sehingga kini adalah untuk membantu rakyat membangunkan ekonomi mereka sendiri.
Rumah rumah kedai dan insfrastuktur serta modal barang bagi peniaga diberikan menerusi penjaman berkala atau secara perkongsian. Dalam Rancangan Malaya Pertama, kerajaan telah memperuntukkan 44.5% daripada bajet keseluruhan sebanyak RM1100 juta bagi pembangunan ekonomi.
Ini menunjukkan usaha Tun Razak memajukan ekonomi menerusi MARA ini amat membantu apabila ia dikekalkan sehingga kini dan MARA menjadi antara agensi tulang belakang kepada rakyat Malaysia.
7. KEMENTERIAN PEMBANGUNAN NEGARA DAN LUAR BANDAR
Cuba kita banyangkan kalau kementerian ini tidak wujud sehingga sekarang, memang haru biru pembangunan negara kerana tidak ada strategi khusus dijalankan. Melalui kementerian ini, luar bandar menjadi fokus Tun Razak. Penerokaan felda felda secara besar besaran dilakukan hanya untuk membangunkan masyarkat luar bandar.
Tun Abdul Razak telah mengumumkan rancangan pembukaan tanah secara besar-besaran di seluruh negara pada 24 Oktober 1960. Rancangan tersebut diadakan untuk menempatkan mereka yang tidak mempunyai tanah sekaligus memajukan tanah tersebut. Tanah-tanah rancangan adalah dibawah pengurusan pihak berkuasa FELDA. Pada permulaannya terdapat 40 tanah rancangan yang disertai oleh 400 buah keluarga. Pelan pembukaan tanah tersebut telah menjadi asas kepada kemakmuran rakyat di kawasan luar bandar.
KALAM AKHIR
7 perkara awesome ini sudah tentu membuktikan yang Tun Razak seorang yang sukar dicari ganti. Lagi awesome apabila ketujuh tujuh perkara ini tidak pernah dimansuhkan oleh mana mana Perdana Menteri selepas itu.
Membentuk sesebuah perpaduan tidak semudah berpidato di hadapan ribuan manusia, tidak semudah menjaga hati sesama kita, di Malaysia, ia perlukan lebih daripada itu. Malaysia mempunya TIGA bangsa terbesar, dicampur dengan 64 etnik di Sabah dan Sarawak, cabaran dalam membentuk perpaduan memerlukan penelitian, kesabaran dan langkah yang penuh berhati hati. Ini berjaya dilakukan oleh Tun Abdul Razak.
Bagi anak muda harini, perpaduan yang ada kini adalah hasil kepayahan pemimpin terdahulu untuk membentuknya. Bapa Pembangunan Bangsa itu bukan sewenang wenangnya boleh diberikan. Apa yang kita rasa pada hari ini haruslah kita hargai kerana sekiranya kita sambil lewa menjaganya, tidak mungkin akan ada TUN RAZAK yang KEDUA untuk pulihkan nya.