spot_img
spot_img

Fintech Islam Berpotensi Berkembang Pesat

spot_img

Industri teknologi kewangan (FinTech – Finance Technology) Islam berpotensi terus berkembang dalam tempoh beberapa tahun akan datang disokong ekosistem komprehensif dimiliki Malaysia.

Presiden Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Mohd Muazzam Mohamed, berkata industri yang kini mencapai tahap matang di Malaysia itu memiliki keupayaan perkembangan pesat selaras dengan pembangunan dasar, teknologi dan bakat di peringkat domestik.

“Kematangan pasaran Malaysia dilihat yang lebih baik berbanding negara lain berikutan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Perbadanan Digital Ekonomi Malaysia (MDEC).

- Advertisement -

“Kita memiliki ketersediaan sumber dan bakat di mana Malaysia memiliki asas yang baik di mana bakat serta perkhidmatan yang kita miliki boleh diketengahkan ke luar negara,” katanya pada sidang media bersempena penganjuran Forum Kewangan Islam Global.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur GIFF yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Al Rajhi Banking & Investment Corp, Arsalaan Ahmed; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican; dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank, Ahmad Shahriman Mohd Shariff.

Mengulas lanjut, Mohd Muazzam berkata, kewangan Islam menjadi tulang belakang pemulihan ekonomi dan perkembangan aspek penggunaan yang menjadi peneraju dalam perubahan.

- Advertisement -

Katanya, adalah penting untuk Malaysia mempertahankan nilai dan prinsip kewangan Islam ke arah mencapai kemakmuran bersama, kelestarian dan keterangkuman.

“Pembiayaan sosial juga kekal sebagai mekanisme kritikal bagi kami untuk mempromosikan kepercayaan sosial, kerjasama dan perpaduan.

“Di Malaysia, melalui inisiatif sejajar Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI), kami telah menyumbang dengan ketara kepada pemulihan sosioekonomi negara ketika pandemik COVID-19 dengan mengagihkan kewangan sosial kepada segmen yang terdedah, khususnya B40 serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.

Beliau berkata, menurut Moody’s, pemulihan ekonomi dalam pasaran kewangan Islam utama dijangka meningkatkan pertumbuhan kredit dan permintaan bagi produk patuh syariah.

“Berdasarkan laporan agensi penarafan itu pertumbuhan aset bank Islam dijangka terus mengatasi prestasi perbankan konvensional,” katanya.

Sementara itu, Arsalaan berkata, terdapat tiga perkembangan utama yang akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pemimpin kewangan Islam.

Pertama, katanya, Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 yang diumumkan dijangka dapat memajukan kewangan berasaskan nilai melalui kepimpinan kewangan Islam.

“Kedua, pengeluaran lesen perbankan digital akan mempercepatkan penggunaan teknologi baharu untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat yang tidak mempunyai perbankan dan kurang mendapat perkhidmatan.

“Akhir sekali, FinTech Islam berkembang pesat di Malaysia dengan 33 peratus daripada syarikat FinTech dunia beribu pejabat di sini.

“Semua faktor asas ini penting dalam pertumbuhan Malaysia dalam industri kewangan Islam dan kami percaya perkembangan positif ini akan terus berkembang pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img