NEW YORK: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak akan dipenjarakan atau berdepan sebarang hukuman lain berhubung sabitan kes jenayah berkaitan bayaran ‘duit menutup mulut’ kepada seorang bintang filem lucah.
Trump menghadiri prosiding itu secara maya dari kediamannya di Mar-a-Lago, Palm Beach, Florida.
Berdasarkan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Agung New York, Juan Merchan, Trump dilepaskan tanpa syarat, bermaksud beliau tidak akan dipenjara atau diletakkan di bawah parol.
Namun pelantikan Trump pada 20 Januari ini tidak akan memadamkan keputusan juri berhubung kes itu.
Ia sekali gus menjadikan Trump Presiden AS pertama yang memegang jawatan dengan sabitan jenayah.
Merchan berkata, beliau mengecualikan hukuman penjara, denda atau tempoh percubaan kerana Perlembagaan AS melindungi Presiden daripada pendakwaan jenayah.
Tetapi jelasnya, perlindungan yang diberikan itu tidak mengurangkan keseriusan jenayah atau mewajarkan perlakuan tersebut dalam apa cara sekalipun.
“Perlindungan undang-undang yang cukup besar, sememangnya luar biasa, yang diberikan oleh pejabat ketua eksekutif adalah faktor yang mengatasi semua yang lain.
“Walaupun luasnya perlindungan itu, satu kuasa yang mereka tidak berikan ialah kuasa untuk memadamkan keputusan juri,” kata Merchan.
Trump yang mengaku tidak bersalah menyifatkan kes itu sebagai percubaan yang tidak berjaya untuk menggagalkan kempen pemilihan semulanya.
“Ini adalah pengalaman yang sangat mengerikan. Saya tidak bersalah sama sekali, saya tidak melakukan kesalahan,” katanya.
Trump tidak memberi keterangan semasa perbicaraan selama enam minggu tahun lalu tetapi berulang kali memperlekehkan Merchan dan Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg yang membawa kes itu dalam kenyataan awam.
Pendakwa, Joshua Steinglass berkata, pendakwa raya menyokong hukuman pelepasan tanpa syarat itu.
“Keputusan dalam kes ini adalah sebulat suara dan tegas, dan ia mesti dihormati,” kata Steinglass.
Sabitan ke atas Trump berpunca daripada cubaan menyembunyikan pembayaran yang dibuat bagi menutup mulut pelakon filem dewasa, Stormy Daniels semasa kempen pertamanya untuk jawatan Presiden.