PETALING JAYA: Kerajaan pusat mula mengagihkan RM1,000 Bantuan Wang Ehsan kepada isi rumah yang terjejas banjir di seluruh negara sejak semalam.
Timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata bantuan itu akan diagihkan kepada setiap keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Bantuan itu akan diagihkan secara berperingkat, lapor Bernama.
“Saya berharap penyaluran bantuan khususnya bantuan tunai ini disusun dengan teratur.
“Kita tidak mahu ada keluarga yang berpindah ke PPS terpinggir,” katanya selepas melawat PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Matang di Kuala Berang, Terengganu, hari ini.
Sementara itu, Zahid berkata kerajaan persekutuan turut meminta kerajaan negeri yang terjejas akibat banjir berusaha menyediakan bantuan dan dana kecemasan kepada mangsa yang mengalami kerugian besar seperti kerosakan rumah dan peralatan rumah.
Zahid berkata kerajaan mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk mengagihkan Bantuan Wang Ihsan kepada 30,000 keluarga yang terjejas.
Malah, beliau berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan akan menambah peruntukan bantuan tunai sekiranya bilangan keluarga melebihi peruntukan yang disediakan.Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan sedang membina 14 pusat pemindahan bencana kekal (PPKB) di seluruh negara, atau satu PPKB di setiap negeri, untuk kemudahan mangsa banjir.
“Peruntukan sudah ada dan perdana menteri sendiri telah memberi Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) peruntukan RM600 juta dalam bajet tahun depan, iaitu RM100 juta lebih daripada peruntukan tahun ini,” katanya.
Zahid berkata keadaan banjir kali ini “sangat luar biasa” kerana petang semalam hanya terdapat 37,000 mangsa di seluruh negara, tetapi angka ini telah mencecah kira-kira 137,000 mangsa petang tadi.