Penyanyi Khai Bahar mengakui dirinya kini lebih kerap bersenam untuk memantapkan stamina.
Menurut Khai, penampilan terbarunya bukanlah hanya semata-mata untuk kelihatan ‘sado’ berbanding dahulu.
“Saya bersenam tidaklah hanya kerana ingin tampil sado sahaja. Saya bersenam jika ada masa lapang untuk kebaikan saya sendiri.
“Saya mahu menjaga stamina agar saya mendapat lebih tenaga ketika melakukan persembahan pentas. Waktu kerja saya tidak menentu.
“Selalunya, saya akan pulang lewat malam. Jadi saya rasa amalan senaman yang saya lakukan membantu saya untuk kembali lebih cergas.
“Selain itu, saya bukan sekadar bersenam di gimnasium. Saya juga turut mengamalkan aktiviti lain seperti jogging dan senaman-senaman yang bersesuaian,” kata Khai ketika ditemui di sidang media Anugerah MeleTOP Era 2017 (AME 2017) baru-baru ini.
Tercalon dalam dua kategori iaitu Penyanyi Paling MeleTOP dan Artis Baru MeleTOP, penyanyi lagu Bayang ini menghargai usaha peminat yang mengundinya.
“Saya sendiri tak menjangkakan yang saya akan tercalon dalam dua kategori kerana saya masih lagi baru jika hendak dibandingkan dengan penyanyi-penyanyi lain.
“Terima kasih kepada semua peminat yang tidak penat untuk mengundi saya. Saya sangat bersyukur dan gembira tercalon dalam AME 2017,” katanya lagi.
AME 2017 bakal menyaksikan Neelofa, Nabil Ahmad dan Johan sebagai pengacara. Penyampai Era FM, Radin serta Fad Bocey akan mengendalikan acara Karpet MeleTOP.
AME 2017 bakal bersiaran secara langsung di Stadium Malawati Shah Alam pada Ahad, 23 April 2017 jam 9.00 malam dan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).
Talian undian fasa kedua bagi menentukan pemenang akhir boleh diundi menerusi laman web www.anugerahmeletopera.com.my dan www.era.fm serta aplikasi ERA dan Raku bermula 28 Mac sehingga 23 April ini.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Source: Semakin Sado, Khai Bahar Bersenam Untuk Mantapkan Stamina | Astro Gempak