Takut adalah emosi asas yang sering dirasai oleh manusia dalam pelbagai situasi dan dalam Islam, takut juga memainkan peranan penting dalam memperkuat iman serta menghindarkan diri daripada keburukan.
Buku “BEKIQU: Bijak Emosi dengan Al-Quran Vol.2: Takut” merupakan sebuah karya yang santai berbentuk diari yang membincangkan tentang emosi takut yang sering kali melanda pada remaja dalam perspektif Islam. Buku ini mengajak anak remaja untuk mengenal, memahami dan mengawal perasaan takut berdasarkan bimbingan al-Quran dan hadis.
Penulis menggunakan sudut pandang seorang remaja yang sedang bergelut dengan perasaan takut khususnya kehilangan apabila kematian ibunya secara tiba-tiba.
Bagaimana seorang anak yang belum dewasa mampu memahami, mencerna seterusnya mengawal emosi tersebut dengan baik? Bagaimana pula orang-orang dewasa di sekeliling mampu membantu anak remaja untuk memproses emosi itu dengan sebaik mungkin? Gaya bahasa yang digunakan juga ringan dan lebih mudah dihadam oleh pembaca remaja.
Lakaran-lakaran peribadi seperti contengan yang disajikan oleh penulis, berkait rapat dengan emosi dan situasi yang dialami oleh watak utama. Misalnya, saat-saat lucu atau menyedihkan yang ditonjolkan membolehkan pembaca merasai kedalaman emosi dengan lebih mudah dan pengalaman membaca lebih menyeronokkan.
Adunan gaya kreatif dan ilmiah menjadikan buku ini berkesan untuk remaja mempelajari tentang emosi dan melihat rasa takut dari sudut positif dan belajar mengendalikannya dengan bimbingan Al-Quran serta amalan yang dianjurkan dalam Islam.
Buku ini turut menonjolkan pendekatan bijak emosi, khususnya terhadap rasa takut yang sememangnya fitrah manusia, namun boleh menjadi penghalang sekiranya tidak dikawal dengan baik.
Penulis memberikan penjelasan bahawa rasa takut tidak sepenuhnya negatif malah, dalam situasi tertentu, ia boleh menjadi elemen positif yang mendorong manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Dalam aspek ini, al-Quran dijadikan sumber panduan yang kukuh untuk menguruskan rasa takut dengan cara yang bijak dan berpandukan nilai-nilai Islam.
Antara isi utama buku ini adalah bagaimana seorang remaja Muslim boleh menjadikan al- Quran sebagai panduan untuk menguruskan rasa takut. Penulis memetik ayat-ayat Al-Quran yang relevan dalam menekankan ketakwaan serta keyakinan bahawa Allah sentiasa bersama hamba-hamba-Nya yang beriman. Ayat-ayat ini dijadikan panduan untuk membantu pembaca membina kekuatan dalaman dan kepercayaan terhadap Allah sebagai sumber perlindungan.
Melalui perbincangan tentang rasa takut, buku ini membantu pembaca memahami perbezaan antara takut yang memberi kebaikan seperti takut kepada azab Allah yang mendorong kepada taubat dan takut yang melumpuhkan diri dalam kehidupan harian.
Sebagai contoh, perasaan takut dalam menghadapi musibah atau kesusahan sering kali membuat manusia merasa lemah dan tertekan. Penulis menghuraikan kaedah mengatasi perasaan tersebut dengan mengingati janji Allah bahawa selepas setiap kesulitan, ada kemudahan. Hal ini secara tidak langsung memberi pembaca kesedaran bahawa ketakutan tidak seharusnya menghalang, sebaliknya menjadi dorongan untuk meningkatkan tawakal dan usaha yang lebih baik.
Menariknya, buku ini tidak hanya terhad kepada aspek kerohanian, tetapi juga menggunakan pendekatan psikologi untuk memahami bagaimana otak dan badan kita bertindak balas terhadap rasa takut. Pendekatan ini membantu pembaca mengenal pasti gejala-gejala fizikal dan mental yang timbul apabila seseorang mengalami ketakutan, seperti degupan jantung yang cepat dan fikiran yang berserabut. Penulis turut menyarankan teknik-teknik mudah seperti pernafasan yang teratur dan pengurusan pemikiran secara positif yang boleh membantu menenangkan diri apabila berhadapan dengan perasaan takut. Teknik-teknik ini disampaikan secara mudah dan praktikal.
Sumber – Media Mulia