Putrajaya 20 November : Negarawan Tun Dr Mahathir Mohammad hari ini dalam kenyataan di sosial medianya mempertahankan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) sewaktu pentadbirannya bersama bekas menteri kewangannya dahulu yang baru meninggal dunia, Tun Daim Zainuddin.
Tun Dr Mahathir mengimbas kembali bagaimana beliau mempelawa Tun Daim yang sudah bergelar usahawan kaya, hasil dari pembangunan kawasan Taman Maluri Kuala Lumpur untuk menjadi seorang Menteri Kewangan dari tahun 1984 ke 1991.
Beliau menghargai pengorbanan Tun Daim untuk meninggalkan dunia perniagaan apabila menjawat jawatan sebagai seorang menteri.
Walaupun gaji seorang menteri kurang dari RM8,000 waktu itu, tetapi pada tanggapan umum, Tun Daim memperoleh kekayaan lebih dari itu sewaktu Allahyarham menjawat jawatan seorang menteri, dakwa Tun Dr Mahathir.
”Sebagai seorang menteri, gaji mereka adalah lebih rendah dari Perdana Menteri. Jadi Daim tidak menjana wang (dari perniagaan) sejak dia menjawat Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991. Tetapi orang ingat (tanggapan umum) dia buat duit semasa jadi menteri”, ujar Tun Dr Mahathir.
Bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu berkata Tun Daim berusaha untuk menjayakan DEB bagi orang Melayu.
“Untuk menjadi sama tinggi dengan orang kaya lain di Malaysia, (orang Melayu) tidak boleh hanya menjual tomyam atau pisang goreng di tepi jalan. Daim mahu orang Melayu terus bermula di atas (diberi peluang)”, ujar Tun Dr Mahathir.
Menurutnya lagi, Tun Daim memilih beberapa orang muda Melayu pada ketika itu yang tiada pengalaman berniaga, tiada modal dan tiada kemahiran. Mereka itu diberi projek, kontrak dan lesen perniagaan dari kerajaan untuk bermula.
(Tun Daim Zainuddin di akhir hayatnya. Allahyarham digambarkan sebagai seorang pejuang ekonomi untuk orang Melayu menurut Tun Dr Mahathir Mohammad)
Tun Mahathir menyokong langkah itu dalam membantu melahirkan orang kaya Melayu kerana jika bukan kerajaan, sektor swasta pastinya tidak akan membuka ruang kepada orang Melayu untuk berniaga secara besar (konglomerat).
“Kalau kerajaan tidak melaksanakan langkah itu (DEB), maka tiadalah perniagaan besar orang Melayu untuk berdiri sama tinggi dengan mereka yang telah kaya di negara ini”, tegas Tun Dr Mahathir dalam tulisannya.
Beliau menambah lagi, untuk orang Melayu berniaga bermula dengan kecil-kecilan, pasti akan mengambil masa yang begitu lama, dan seterusnya jurang kekayaan akan semakin melebar di antara kaum. Yang kaya bertambah kaya, dan yang miskin terus menjadi lebih miskin.
”Tanpa DEB, Malaysia tidak akan stabil (aman) seperti yang dinikmati hari ini”, disamping Tun Dr Mahathir turut mengakui bahawa DEB itu tidak sempurna. Ramai yang dipilih dan diberi peluang tetapi gagal, namun DEB telah berjaya melahirkan juga sebilangan kecil konglomerat dari kalangan orang Melayu.
Namun Tun Dr Mahathir menzahirkan rasa kesal, kerana terdapat mereka yang menyalahkan dan tidak menghargai jasa Tun Daim, walaupun ada diantara mereka itu pernah dibantu Allahyarham.
”Adakah jika Tun Daim memilih orang ini, dan bukan orang itu untuk dibantu, ia tidak akan dipanggil kroni ? Atau mereka mahu melihat orang yang diberi peluang itu gagal, maka tuduhan kroni tidak berlaku ?”, soal Tun Dr Mahathir.
Tun Daim Zainuddin meninggal dunia di Hospital Assunta pada tarikh 13 November 2024 disyaki kerana strok.